ISTANBUL, 19 MEI – Skuad dadah Turkiye telah memusnahkan 30,000 pokok ganja yang ditanam secara rahsia di taman teres di tepi Sungai Tigris yang berada dalam
senarai Warisan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata laporan media kelmarin.
Dalam operasi bersama melibatkan penyelam dan bot yang disokong oleh helikopter dan dron, ejen penguatkuasa dadah serta polis tempatan menyerbu Taman Hevsel di Diyarbakir di tenggara yang kebanyakannya orang Kurdish, lapor agensi berita IHA dan akhbar Cumhurriyet.
Mereka tidak menyatakan bila serbuan itu berlaku. Di dalam taman yang meliputi kawasan seluas kira-kira 700 hektar antara Kubu Diyarbakir dan Sungai Tigris, mereka mendapati beribu-ribu pokok ganja tumbuh di 31 buah lokasi.
Tumbuhan itu akan menghasilkan kira-kira 5.3 tan ganja, bernilai kira-kira dua bilion lira Turkiye (AS$51 juta), kata laporan itu.
Tiada komen segera daripada kementerian dalam negeri.
Penanam telah mengambil kesempatan terhadap fakta bahawa kenderaan tidak boleh memasuki Taman Hevsel kerana bentuk bumi, bagi mendirikan khemah untuk menyembunyikan dan melindungi tumbuhan serta menggunakan sistem pengairan
bagi menimba air dari Tigris, kata laporan itu.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada terdapat orang yang ditahan dalam serbuan itu.
Pada 2015, taman teres – yang masih digunakan untuk menanam tanaman pertanian – diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO bersama kubu Diyarbakir, sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan sejarah dan budayanya. – AFP
