KYIV, UKRAINE, 2 NOV – Menteri Pertahanan Rusia telah memberitahu rakan sejawatannya daripada Turkiye bahawa Moscow telah bersetuju untuk kembali kepada perjanjian yang diaturkan oleh Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membenarkan penghantaran berjuta-juta tan bijirin Ukraine melalui Laut Hitam, kata presiden Turkiye.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu menelefon Hulusi Akar dan memaklumkan kepadanya bahawa perjanjian koridor bijirin akan ‘disambung seperti sebelumnya’ hari ini.
Erdogan hari ini berkata perjanjian itu akan mengutamakan penghantaran ke negara-negara Afrika, termasuk Somalia, Djibouti dan Sudan, sejajar dengan kebimbangan Rusia bahawa kebanyakan bijirin akan sampai di negara yang lebih kaya.
Rusia menggantung penyertaannya dalam perjanjian bijirin pada hujung minggu, memetik dakwaan serangan dron Ukraine terhadap kapalnya di Laut Hitam. Kementerian Pertahanan Rusia baru-baru ini berkata trafik kapal dari pelabuhan di selatan Ukraine telah dihentikan, menyebut pergerakan itu ‘tidak boleh diterima’. – AP
