ANKARA/ISTANBUL, 16 NOV – Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan kelmarin berkata Turkiye bersedia memikul tanggungjawab di Semenanjung Gaza, termasuk kemungkinan menghantar pasukan tentera jika perlu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Turkiye bersedia memikul amanah di Gaza dan akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen, termasuk menghantar tentera.
“Ini adalah mesej paling jelas kami kepada masyarakat antarabangsa mengenai perkara ini,” kata Fidan dalam temu bual siaran langsung bersama saluran A Haber.
Merujuk pertemuan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump pada September lalu, dia berkata kedua-dua pemimpin membincangkan isu utama berkaitan hubungan dua hala dan dinamik serantau.
Dia berkata rundingan di AS itu turut mengetengahkan semula isu kritikal bagi kedua-dua negara, rantau lebih luas dan usaha mengekalkan keamanan serta kestabilan global. Fidan menegaskan bahawa mengekalkan persefahaman bersama dan penyelarasan rapat adalah penting bagi melindungi serta mengukuhkan kepentingan Turkiye.
Dia turut menyatakan bahawa pasukan penstabil yang dicadangkan adalah satu daripada dua komponen dalam Pelan Damai Trump secara berfasa dan rundingan kini tertumpu kepada pembentukan rangka kerja undang-undang yang akan menentukan mandat serta pelaksanaannya.
Menurut Fidan, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan suruhanjaya keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa untuk Gaza dan cadangan itu terus berkembang dengan AS bekerjasama rapat dengan Turkiye. – Bernama


