ISTANBUL, 14 OKT – Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya mengumumkan kelmarin bahawa pasukan keselamatan telah menahan 106 suspek yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang utama dalam satu operasi besar-besaran merangkumi 10 wilayah termasuk Adana, Izmir, Antalya dan Istanbul.
Yerlikaya dalam satu hantaran di platform X berkata serbuan serentak yang dilancarkan kelmarin itu diselaraskan oleh Cawangan Antipenyeludupan dan Jenayah Terancang Jabatan Polis Wilayah Adana, melibatkan 2,000 anggota keselamatan dan menyasarkan 403 lokasi.
Operasi itu menyasarkan satu rangkaian jenayah yang didakwa diketuai oleh Ramazan Baygara, seorang pelarian kelahiran 1998 dari Adana yang kini dikehendaki di peringkat antarabangsa.
Baygara, yang ditahan di Greece pada 2024 di bawah notis merah Interpol, masih belum diekstradisi ke Turkiye.
Kumpulan jenayah itu mempunyai lebih 270 ahli dan telah memperluas kegiatan haram mereka ke wilayah lain termasuk Sanliurfa, Kirklareli, Batman, Izmir, Ankara dan Istanbul. – Bernama


