ANKARA, 23 SEPT – Turkiye menahan 170 suspek dalam operasi besar-besaran membanteras jenayah siber dan penipuan di 18 wilayah sepanjang lima hari lepas, kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya kelmarin.
Beliau berkata suspek terbabit dalam pelbagai skim jenayah siber dan penipuan termasuk memiliki imej lucah kanak-kanak, menipu orang ramai melalui iklan palsu sewaan banglo, penggunaan akaun tanpa kebenaran, skim pelaburan palsu serta penjualan perabot secara tipu daya.
Ada juga yang dituduh menjalankan operasi pertaruhan haram atau memudahkan transaksi kewangan berkaitan rangkaian itu, selain mengakses akaun perbankan mudah alih secara haram untuk memperoleh keuntungan, katanya di platform media sosial X.
Daripada jumlah suspek yang ditahan di seluruh negara, 55 telah ditahan secara rasmi dan 34 lagi diletakkan di bawah pengawasan kehakiman, manakala kes lain masih dalam siasatan.
Beliau berkata pihak berkuasa turut menyita lima syarikat, tujuh kediaman dan 10 kenderaan – yang dipercayai hasil jenayah – dengan nilai sekitar 341 juta lira Turkiye (AS$8.24 juta).
Yerlikaya berkata siasatan telah dilancarkan terhadap suspek yang ditahan dalam operasi di Adana, Antalya, Diyarbakir, Erzurum, Gaziantep, Istanbul, Izmir dan beberapa wilayah lain. – Bernama


