ISTANBUL, 2 JAN – Turkiye kelmarin mengumumkan penahanan 33 orang yang disyaki merancang penculikan dan mengintip bagi pihak perkhidmatan perisikan Israel, Mossad.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata suspek telah ditangkap dalam serbuan di lapan wilayah di dalam dan sekitar Istanbul.
Tidak jelas sama ada mereka adalah warga Israel atau penduduk tempatan yang didakwa bekerja dengan Mossad.
“Kami tidak akan sekali-kali membenarkan aktiviti pengintipan dijalankan terhadap perpaduan nasional dan solidariti negara kami,” kata Yerlikaya di media sosial.
Pejabat Yerlikaya mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan ejen perkhidmatan keselamatan bersenjata memecahkan pintu dan menangkap suspek di rumah mereka.
Pejabat pendakwa raya Istanbul berkata 13 suspek lagi masih bebas.
Hubungan antara Turkiye dan Israel merosot selepas meletusnya perang Israel-Hamas hampir tiga bulan lalu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menjadi salah seorang pengkritik paling lantang di dunia terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pemimpin Turkiye itu membandingkan Netanyahu dengan Adolf Hitler dan menuntut sekutu Barat Israel menggugurkan sokongan mereka terhadap keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel. – AFP
