ANKARA, 11 NOV – Pihak berkuasa Turkiye kelmarin menahan lapan individu, termasuk Pengerusi kelab bola sepak Eyupspor, Murat Ozkaya sebagai sebahagian daripada siasatan yang meluas berhubung kegiatan pertaruhan haram dalam perlawanan bola sepak.
Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) turut menggantung seramai 1,024 pemain di semua peringkat profesional sementara menunggu semakan disiplin.
Penahanan itu dibuat selepas operasi besar-besaran yang diselaraskan oleh Bahagian Jenayah Siber Istanbul dan Pejabat Pendakwa Raya.
Menurut penyiar kerajaan TRT, suspek yang terdiri daripada pegawai kelab dan pengadil telah dibawa ke mahkamah selepas siasatan yang dijalankan bersama oleh dua agensi berkenaan.
Polis melaksanakan operasi serentak di 13 wilayah, termasuk Ankara, Antalya, Bolu, Diyarbakir, Istanbul, Izmir dan Trabzon.

Seramai 21 individu pada awalnya ditahan selepas pemantauan dan pemerhatian teknikal dijalankan.
TFF kelmarin memaklumkan bahawa 1,024 pemain daripada pelbagai liga telah dirujuk kepada Majlis Tatatertib Bolasepak Profesional kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan.
Kesemua mereka digantung sementara siasatan diteruskan.
“Berkaitan dengan siasatan pertaruhan ini, 1,024 pemain telah dirujuk secara sementara kepada Majlis Tatatertib Bolasepak Profesional,” kata TFF dalam satu kenyataan.
Langkah menyeluruh itu diambil beberapa minggu selepas TFF menggantung 149 pengadil dan penolong pengadil susulan dakwaan bahawa pegawai perlawanan tersebut turut membuat pertaruhan dalam perlawanan yang mereka kendalikan, satu pelanggaran langsung terhadap peraturan integriti bola sepak. – Bernama

