ISTANBUL, 12 NOV – Pendakwa raya Turkiye kelmarin telah mendakwa Datuk Bandar Istanbul yang kini dipenjarakan, Ekrem Imamoglu, atas 142 kesalahan dalam satu kes undang-undang besar-besaran yang boleh membawa hukuman melebihi 2,000 tahun penjara, menurut dokumen mahkamah.
Imamoglu merupakan seteru politik utama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan dilihat sebagai satu-satunya ahli politik yang berpotensi menewaskannya melalui pilihan raya. Penangkapannya pada bulan Mac lalu mencetuskan gelombang rusuhan jalanan terburuk di Turkiye sejak tahun 2013.
Dokumen pertuduhan setebal hampir 4,000 muka surat itu menyenaraikan pelbagai kesalahan terhadap Datuk Bandar popular itu, termasuk mengendalikan organisasi jenayah, rasuah, pecah amanah, penggubahan wang haram, pemerasan serta penyelewengan tender. – AFP


