ISTANBUL, 24 OGOS – Wanita Pertama Turkiye menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Melania Trump kelmarin, memintanya untuk menunjukkan keprihatinan yang sama terhadap kanak-kanak di Gaza seperti yang ditunjukkannya pada kanak-kanak di Ukraine.
Emine Erdogan meminta isteri kepada Donald Trump menulis surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menunjukkan belas kasihan kepada kanak-kanak di Gaza.
Dalam surat yang disampaikan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak Alaska awal bulan ini, Melania merayu kepada Putin untuk berdamai di Ukraine demi kanak-kanak.
Wanita Pertama Turkiye menulis, “Saya percaya bahawa sensitiviti penting yang anda tunjukkan terhadap 648 kanak-kanak Ukraine yang kehilangan nyawa mereka dalam perang akan dilanjutkan ke Gaza juga, di mana, dalam tempoh dua tahun, 62,000 orang awam yang tidak bersalah, termasuk 18,000 kanak-kanak, telah dibunuh dengan kejam.
“Sebagai seorang ibu, wanita dan manusia, saya amat berkongsi perasaan yang dinyatakan dalam surat anda dan saya berharap anda akan memberikan harapan yang sama kepada kanak-kanak di Gaza, yang juga mendambakan keamanan dan kedamaian,” tulis Emine kepada Melania.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah berusaha untuk bertindak sebagai orang tengah antara Rusia dan Ukraine semasa perang itu, yang memasuki tahun keempat.
Selasa lalu, beliau menuduh Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata mereka di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Jumaat lalu secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza, yang mana Netanyahu menolak sebagai pembohongan secara terang-terangan. – AFP


