ASHGABAT, Turkmenistan, 31 Mac – Turkmenistan yang kaya minyak hari ini membuka kilang baja potasy bernilai AS$1.1 bilion dalam usaha sama dengan Belarus bekas Soviet, lapor media kerajaan.
Bercakap semasa perasmiannya, Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov berkata kemudahan pengeluaran bersama itu adalah salah satu kilang yang terbesar di Asia dan mewakili ‘kelahiran industri baru’ di sebuah negara yang bergantung pada pengeksportan gas cecair asli.
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yang juga hadir, berkata dia berharap kilang itu akan merubah Turkmenistan menjadi ‘pengeluaran utama potasy di seluruh rantau Asia Tengah’.
Pembinaan atas kerjasama perlombongan Turkmenistan-Belarus dan usaha sama pemprosesan itu digelar Garlyk bermula pada 2009 di timur laut rantau Lebap.

Pada kapasiti penuh, kilang itu akan menghasilkan 1.4 juta tan baja potasy (kalium klorida) setiap tahun, lapor agensi berita rasmi Turkmenistan, TDH.
Deposit potasy Garlyk dianggarkan lebih dua bilion tan, catat TDH.
Syarikat Turkmenhimiya atau Turkmen Chemicals milik kerajaan itu, berkata kilang itu akan menggaji 1,700 orang, 30 peratus daripadanya dilatih di Belarus, yang menjadi pemimpin global dalam pengeluaran potasy di samping negara jirannya Rusia. – AFP