Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Turtles lega dapat guna khidmat pemain import

    KUALA TERENGGANU, 5 JAN – Skuad sepak takraw Terengganu Turtles menarik nafas lega selepas hasrat untuk mengambil khidmat pemain import bagi menghadapi cabaran Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, tercapai.

    Ia selepas badan induk sepak takraw, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) membuat pusingan ‘U’ dengan membenarkan pemain import beraksi semula dalam saingan STL yang dijadualkan bermula 9 Januari ini bagi aksi Liga Perdana dan 1 Februari melibatkan pasukan Divisyen Satu.

    Jurulatih Terengganu Turtles Mohd Futra, Abd Ghani berkata pihaknya sudah menyenaraikan ‘killer’ import dari Thailand, Sarayut Suksen dalam barisan lapan pemainnya yang telah pun membuat latihan serta persiapan rapi.

    “Kita sebenarnya sudah membuat rundingan terlebih dahulu dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Astaf untuk membawa Sarayut ke Terengganu.

    “Beliau dijangka tiba di bumi Darul Iman selewat-lewatnya 14 Januari ini. Rasanya beliau sempat berlatih beberapa hari bersama pasukan kerana saingan Divisyen Satu bakal bermula pada 1 Februari depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Selain Sarayut, skuad Terengganu Turtles musim ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua bekas tonggak kebangsaan iaitu Izurin Refin dan Mohd Kamal Alfuza Shafie.

    Pemain lain ialah Muhammad Amar Roslan, Alif Mursyid Rusli, Muhammad Afif Jazimin Zainal, Muhammad Hasmadi Wahab dan Muhammad Izzat Shahir Rosli yang juga atlet sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma).

    “Kehadiran Sarayut diharap dapat memberikan impak maksimum kepada pasukan seterusnya mencapai sasaran untuk muncul juara Divisyen Satu,” katanya.

    Kali terakhir Terengganu Turtles beraksi dalam saingan Liga Perdana ialah pada 2019 sebelum tersingkir ke Divisyen Satu pada tahun berikutnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...