Bintang terkenal Indonesia, Melly Goeslaw tidak berselindung berkongsi tentang dirinya yang menjalani proses pemotongan usus atau dikenali atau bariatrik demi mengurangkan berat badannya.
Kompas.com melaporkan, berat badan Melly, 49, pernah mencecah angka 100 kilogram (kg). Namun kini setelah menjalani pembedahan tersebut, beratnya turun sehingga 52kg.
“Berat saya pernah sehingga 100kg dan sekarang 52 hingga 53kg sahaja. Iya, buat pembedahan potong usus, namanya bariatrik. Memang itu dilakukan orang yang obesiti,” ujarnya.
Bicara lanjut penyanyi lagu Jika Aku itu, bagaimanapun tidak semua orang yang obes boleh membuat pembedahan bariatrik tersebut.
“Tak semua orang boleh buat bariatrik. Mesti prosedurnya body mass index (BMI) 35 dan saya sudah diabetes teruk,” jelasnya. Setelah menjalani pembedahan berkenaan, beberapa perubahan dialami Melly Goeslaw.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P18-3a-Melly-Goeslaw_29042023.jpg)
“Daripada 100 peratus, jadi 15 peratus. Jadi kalau makan, sendawa. Ini paling banyak makan nasi waktu sahur hanya satu senduk.
“Makan perlahan-lahan. Kalau makan satu senduk, kenyang. Masih nak minum, kalau paksa dua senduk, ya tak boleh minum,” ujarnya lagi.
Hasilnya, dalam tempoh lapan bulan, berat badan Melly Goeslaw telah turun 34 kilogram.
“Ketika saya menjalani bariatrik, berat saya 87 dan kini telah kehilangan 34kg dalam masa lapan bulan. Ia turun dengan sendirinya kerana pengambilan makanan yang sedikit,” kata Melly.
Jun lalu, Melly mendedahkan dirinya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan memotong usus kerana faktor kesihatan dan berat badannya sudah mencapai tahap obesiti. – Agensi