LONDON, 1 Jan – Manchester City buat pertama kalinya gagal untuk memperolehi mata penuh sejak Ogos lalu sekali gus terlepas peluang untukmenyamai rekod tanpa kalah paling lama dalam lima liga teratas Eropah.
Dalam perkembangan lain, Chelsea merampas kedudukan kedua dari Manchester United sementara Liverpool mencipta rekod 15 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan selepas bangkit dari ketinggalan semasa menentang Leicester City tempoh hari.
Di sini adalah laporan mengenai perlawanan Liga Perdana hujung minggu ini:

City perlu atasi masalah kecederaan
Manchester City mengakhiri tahun 2017 ini dengan kekecewaan selepas rekod tanpa kalah berakhir semalam apabila pendahulu liga itu diikat 0-0 di Crystal Palace.
Tetapi pengurus Pep Guardiola lebih risau tentang masalah kecederaan yang dialami oleh Gabriel Jesus dan Kevin De Bruyne. Jesus terpaksa dikeluarkan pertengahan sebelum separuh masa pertama tamat selepas mengalami kecederaan lutut, mungkin diketepikan sehingga dua bulan.
Manakala De Bruyne diusung keluar padang sebelum tamat perlawanan namun kecederaan yang dialami nampaknya tidak serius seperti yang dijangkakan dan mungkin akan terlepas perlawanan menentang Watford esok.
Pengurus City menyeru pengadil untuk menjaga pemain. “Saya memuji konsep fizikal yang ada dalam Liga Perdana tetapi pengadil perlu melindungi para pemain,” katanya. “Bukan saja pemain terbaik tetapi semua pemain.”
Chelsea menyerlah tanpa Hazard
Sementara Chelsea terus berada di belakang Manchester City untuk merebut gelaran, peluang untuk merangkul beberapa trofi dalam tiga pertandingan yang lain pada 2018 ini masih terbentang luas jadi Chelsea mempamerkan aksi mantap di Stamford Bridge di mana juara bertahan itu beraksi dengan baik tanpa Eden Hazard.
Keputusan Mark Hughes untuk menyenaraikan barisan skuad yang lemah di pertengahan jadual padat ini memberi peluang kepada Chelsea untuk membelasah pasukan pelawat 5-0 sekali gus kemenangan terbesar musim ini yang menyaksikan pemain antarabangsa Belgium Hazard direhatkan.
Willian dan Pedro menggalas tugas untuk mengisi barisan serangan dan masing-masing menjaringkan gol di mana Chelsea melakar empat kemenangan dalam lima perlawanan liga. Arsenal akan menerima kunjungan Arsenal pada Rabu nanti, Conte telah merehatkan Hazard secukupnya dan bersedia untuk berjuang.
United ketandusan idea
Manchester United telah menghasilkan taktik serangan yang menggerunkan musim ini walaupun gagal untuk mengatasi pasukan tetangga. Tetapi United kini memperolehi tiga keputusan seri berturut-turut menentang pasukan yang dijangkakan boleh ditewaskan iaitu Leicester City, Burnley dan Southampton.
Romelu Lukaku diusung keluar padang pada awal perlawanan menentang Southampton yang menyaksikan perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Tetapi pemain seperti Juan Mata, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan Anthony Martial diturunkan namun tiada antara mereka yang mampu menerjah gawang.
Anak buah Mourniho nampaknya kekurangan idea dan kembali termasuk dalam kelompok beberapa kelab yang berebut untuk slot Liga Juara-Juara.
Liverpool tanpa Salah
Ramai yang berbicara mengenai ‘Fab Four’ Liverpool, Mohamed Salah menjadi pemain tumpuan di Anfield, menjaringkan 23 kali untuk kelab dalam semua pertandingan sekali gus menyamai rekod yang dicipta Roger Hunt.
Tetapi penyerang Mesir itu kelihatan tempang selepas menjaringkan dua gol yang menyaksikan Liverpool menewaskan Leicester 2-1 hujung minggu ini.
Jurgen Klopp berharap Salah cergas untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya termasuk perlawanan tetangga di Piala FA dan menentang Manchester City di tempat sendiri.

Wenger pecahkan rekod
Rekod Arsene Wenger beberapa tahun kebelakangan telah membahagikan penyokong tetapi satu perkara yang tidak dinafikan adalah Wenger masih mampu bertahan di Arsenal.
Pengurus Arsenal semalam telah mengatasi rekod Alex Ferguson dengan 811 perlawanan di Liga Perdana yang menyaksikan Arsenal diikat West Brom 1-1 dan masih berang dengan keputusan pengadil kerana menghadiahkan sepakan penalti kepada West Brom pada saat kecederaan. – AFP