KLANG, 20 OGOS – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT akan mengarahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak untuk melihat sama ada terdapat keperluan untuk membina sebuah balai bomba di Julau, seperti yang didesak oleh pemimpin PKR negeri itu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya telah menjawab isu berkenaan dalam sesi sidang Parlimen yang lepas apabila KPKT mengenal pasti 118 lokasi di seluruh Sarawak bagi pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kategori E, bagaimanapun kawasan Julai tidak menepati ciri-ciri yang diperlukan.
“Memang KPKT ada kenal pasti 118 tempat untuk balai bomba kategori E bagaimanapun Julai tidak menepati ciri-ciri berkenaan, bagaimanapun saya akan arahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak untuk turun padang melihat sama ada terdapat keperluan di sana,” katanya.
Katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan daripada Ketua Wanita PKR Cabang Julau, Angela Baca yang menuntut agar beliau menunaikan janjinya untuk membina balai bomba kategori E di sana.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Kenduri Rakyat Prihatin Parlimen Kapar di Bukit Kapar di sini hari ini. – Bernama