Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bijaksana penuh kewibawaan dan berwawasan jauh, rakyat dan penduduk di negara ini terus-menerus menikmati kehidupan yang sejahtera dalam suasana yang aman damai penuh harmoni dengan menikmati pelbagai bentuk kemudahan dan subsidi yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Kesemuanya ini semata-mata untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, kita sebagai rakyat dan penduduk yang berlindung di bawah negara yang kita cintai ini sepatutnya juga memainkan peranan dan tanggungjawab berdasarkan kepada kebolehan dan keupayaan masing-masing demi sama-sama menggembleng tenaga bagi mengembangmajukan ekonomi negara agar lebih mapan dan berdaya tahan demi kelangsungan kesejahteraan kehidupan kita.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusuf (gambar) menekankan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan penangguhan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), kelmarin.
Yang Berhormat Pehin berkata kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini seharusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mempunyai seorang raja yang sangat prihatin serta pemedulian tentang hal ehwal kesejahteraan, kebajikan, masalah, malahan rintihan rakyat dan penduduk tanah air sehingga Baginda Sultan sanggup bercemar duli berangkat atau kata istilah biasanya ‘turun padang’ ke jabatan-jabatan kerajaan, institusi pendidikan, rumah-rumah kediaman persendirian, organisasi tertentu sama ada berjadual atau tidak berjadual.
Ketulusan semangat kepimpinan Baginda Sultan berkenaan semestinya untuk mengetahui keadaan yang sebenar-benarnya serta mendengar dan mendapatkan input secara terus dalam usaha menyelesaikan apa juga masalah atau isu yang ditimbulkan.
“Sehubungan dengan ini, marilah kita bersama-sama khususnya pemimpin-pemimpin mengambil iktibar, pengajaran dan teladan daripada cara kepimpinan Baginda ini dalam kita bersama-sama mentadbir urus dan menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya kita lebih maju bergerak terus ke hadapan ke arah perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dinamik untuk memajukan sosioekonomi negara ke arah yang lebih mapan dan berdaya tahan.
“Kaedah urus tadbir secara turun padang ini membolehkan kita mengetahui apa juga masalah atau isu yang sebenarnya serta mendapatkan maklum balas daripada pegawai-pegawai bawahan dalam menyelesaikan apa juga masalah atau isu,” ujar Yang Berhormat Pehin.
Di samping itu, Yang Berhormat Pehin turut menyarankan supaya mengamalkan sikap keterbukaan dengan mudah atau mudah menerima fikiran-fikiran yang positif dan inovatif daripada pegawai-pegawai bawahan kerana dengan cara sedemikian ia sudah setentunya bukan sahaja memperkukuhkan lagi semangat berpasukan dan sense of belonging tetapi ia boleh membantu penambahbaikan perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang dan efisien.
Berkenaan penyediaan Rang Undang-undang Anggaran Perbelanjaan Negara bagi Tahun 2023/2024 sebagaimana yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua pada 6 Mac lalu, dalam perkara ini Yang Berhormat Pehin sekali gus menjelaskan di mana anggaran hasil kerajaan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 adalah diunjurkan berjumlah $2.99 bilion.
Manakala jumlah perbelanjaan bagi membiayai kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan termasuk membiayai perbelanjaan di bawah perbelanjaan yang diakui berjumlah $5.96 bilion. Dari itu, kerajaan dianggarkan mengalami defisit berjumlah $2.97 bilion.
“Ini adalah satu cabaran utama yang perlu diambil perhatian yang serius untuk ditangani.
Dengan kedudukan kewangan seperti ini, kaola penuh percaya dan sangat berkeyakinan pihak-pihak berkuasa dan berkepentingan khususnya Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta kementerian-kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga pihak-pihak yang berkenaan sangat bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan lagi berdaya tahan apatah lagi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Berdepan dengan cabaran kedudukan defisit negara ini, kita seharusnya sama ada di pihak sektor kerajaan atau swasta serta lapisan rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah bersama-sama bergerak ke hadapan dengan lebih pantas, bersedia untuk berkorban dalam menghadapi cabaran ini,” tegas Yang Berhomat Pehin.
Oleh itu, beliau turut menyeru kepada semua untuk lebih kreatif, inovatif, serta mengubah pemikiran ke arah yang lebih dinamik serta progresif, lebih dedikasi dan bersungguh-sungguh serta amanah dalam kita bersama-sama berusaha meningkatkan pertumbuhan dan mengembangluaskan lagi ekonomi negara pada masa ini dan di masa akan datang.
Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat Pehin dalam ucapan penangguhannya juga mencadangkan beberapa perkara seperti melakukan review atau meneliti dan mengemas kini tatacara yang lebih signifikan untuk menarik lebih ramai lagi pelabur-pelabur langsung asing terutama yang berskala besar; selain dengan meningkatkan produk yang lebih berskala besar bagi produk-produk yang telah pun berjaya dieksport ke luar negeri, di samping mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dieksport dan dikembangluaskan bagi menembusi pasaran luar negeri.