Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 6 OKT – Dengan matlamat menurunkan ilmu dan teknik menganyam bakul tradisional agar warisan budaya tersebut tidak pupus ditelan zaman, seramai 24 belia Daerah Belait mempelajari seni anyaman bakul tradisional dalam Bengkel Anyaman Bakul Plastik yang diadakan selama tiga hari di Dewan Mini Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Bunga Rambai, Kuala Belait.
Dibukakan kepada belia berumur 18 hingga 35 tahun, bengkel itu menyaksikan tenaga pengajar jemputan berkongsi pengetahuan bersama peserta melalui pembelajaran teori sebelum diteruskan dengan sesi amali.
Menerusi bengkel itu, para peserta dapat memanfaatkan pengetahuan yang dipelajari dan mengaplikasikan seni anyaman bakul seperti mengenali alat untuk menganyam bakul selain mengetahui pelbagai jenis anyaman dan teknik membuat anyaman tersebut.
Hadir pada hari terakhir bengkel ialah wakil Penolong Pengarah dan Ketua Pusat Pembangunan Belia di Bandar Seri Begawan (wakil peribadi Penolong Pengarah, Ketua Pusat, Pusat Pembangunan Belia, BSB), Haji Roslan bin Haji Kurus selaku tetamu kehormat.
Kedatangan beliau disambut oleh Pemangku Ketua Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait, Gaung Jamit.
Dalam ucapan penutup, Haji Roslan berkata bengkel tersebut telah menerima maklum balas yang positif dan membina daripada para peserta, dengan ramai yang mengharapkan kursus yang lebih lama dan teknikal diadakan pada masa akan datang.
“Dengan kursus pertama seumpamanya dianjurkan di Daerah Belait, kami akan menggunakan sepenuhnya maklum balas yang kami peroleh untuk menganjurkan bengkel dan kursus dengan lebih baik dalam masa terdekat demi memenuhi keperluan peserta dan mereka yang berminat bagi belajar seni anyaman tersebut.
“Bengkel yang dianjurkan diharap dapat membantu dalam memperkukuh dan membangunkan kemahiran belia. Saya juga berharap semua orang di sini akan terus berusaha menyebarkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh kepada rakan dan keluarga,” tambahnya.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil serta bakul plastik yang dianyam sepanjang bengkel oleh tetamu kehormat kepada para peserta.