Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 16 Ogos – Lima orang peserta telah mengikuti Peraduan Syarahan Melayu Islam Beraja (MIB) bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-50 Tahun Menaiki Takhta bagi peringkat Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Daerah Tutong, pagi tadi.
Bagi Kategori A iaitu Institusi Pengajian Tinggi (berumur 17-25 tahun), juara telah dirangkul oleh Awang Mazfazillah bin Maikal dan Dayang Nur Qahirah Qayyimah binti Abdullah Masri di tempat kedua.
Kategori B, bahagian IBTE/Sekolah Menengah (berumur 12-20 tahun), pula dijuarai oleh Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam diikuti Awang Nur Mizan Syafiee bin Nor Hashim di tempat kedua dan Kategori C untuk orang Awam pula dimenangi oleh Dayang Mardlina binti Mohammad Juni.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku penghulu Mukim Telisai.


Juara bagi setiap kategori menerima wang tunai $200 dan sijil peserta dan naib juara menerima wang tunai $150 dan sijil.
Dengan bertemakan ‘MIB Teras Keteguhan Negara’, pertandingan diadakan bagi mencari wakil Daerah Tutong untuk mengikuti pertandingan peringkat negara yang akan diadakan pada September nanti.
Ia bertujuan sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat mengenai MIB kepada orang ramai.
Turut hadir di majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar selaku timbalan pengerusi peraduan, bersama pegawai-pegawai dan kakitangan PDI, Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong dan penuntut-penuntut sekolah.