Selebriti Malaysia, wanita yang tampil dengan fesyen kononnya unik dan diluar kotak dalam sesebuah acara hiburan sebenarnya mendedahkan mereka kepada perbuatan mendatangkan dosa.
Memetik dari mStar, pendakwah Dr Kamilin Jamilin menjelaskan meskipun pakaian dikenakan menutup aurat namun ia telah masuk dalam kategori libas al syurah iaitu pelik tetapi mengundang perhatian.
Jelas pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini, pakaian sedemikian dilarang dalam Islam kerana ia boleh mendatangkan sifat riak dan perasaan hebat daripada orang lain.
“Pakaian sebegini dilarang dan salah dalam Islam walaupun tidak mendedahkan aurat sebab ia termasuk dalam kategori libas al syurah iaitu pelik tetapi mengundang perhatian.
“Sebab ia boleh jadi pembaziran malah Islam juga ingin menjaga umatnya daripada sikap riak atau menunjuk-nujuk.
“Riak ini muncul apabila kita rasa lebih hebat dan unik daripada orang lain. Apabila kita biasa mengundang perhatian atau tumpuan ramai, lebih susah untuk menjaga hati,” jelasnya.
Kamilin membuat penjelasan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Ahad.
Dalam pada itu, Kamilin minta selebriti wanita dan umum berhati-hati kerana tindakan itu mampu memberi impak besar kepada seseorang termasuk menghalang mereka daripada masuk syurga.
Kamilin menjelaskan pakaian syurah bukan sahaja tentang soal harga tetapi penampilan yang menarik perhatian ramai sudah cukup membuatkan ia salah di sisi agama.
“Jadi saya menyeru sahabat-sahabat terutamanya selebriti dan pereka fesyen, jauhilah rekaan yang mengundang ke arah syuhrah ini.
“Tak semestinya pakaian itu perlu gah atau mewah baru jadi syurah… jangan nampak pelik, lain daripada orang lain sehingga mengundang sensasi dan perhatian disebabkan keanehannya.
“Kalau orang lain datang majlis itu pakai biasa-biasa, jangan pula datang dengan berlainan atas bawah sehingga menjadi perhatian orang,” kongsinya lagi.
Menjelaskan penampilan seorang muslimah yang sesuai, Kamilin berkata, seorang wanita dibenarkan melabuhkan pakaiannya selengan daripada bajunya.
“Ada pun yang sampai ada orang kena angkat, itu tradisi jahiliyah dulu untuk kesombongan,” jelasnya.
Sementara itu, menjengah ke ruang komen video tersebut, nama Aina Abdul dikaitkan memandangkan pada malam Jumaat lalu penyanyi berkenaan muncul dengan gaya luar biasa pada acara karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Aina tampil dengan tiga pasang pakaian berbeza termasuk sut merah bersaiz agam yang memaksanya muncul menaiki sebuah lori berkontena kaca.
Peminat yang prihatin dengan gaya Aina turut mendoakan agar penyanyi berkenaan menonton penjelasan Kamilin dan menyedari tindakannya itu sebenarnya salah.
“Harap Aina jadikan pengajaran, kami semua sayangkan Aina okay.
“Kami tegur sebab sayang, harap Aina dan peminat dia tidak ambil hati,” antara komen warganet. – Agensi
