Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tutup mulut pengkritik

    LONDON, 28 Dis – Harry Kane mengakui kejayaan memecahkan rekod jaringan terbanyak setahun kerana ingin menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuannya untuk setanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

    Hatrik penyerang itu ketika Tottenham Hotspur menewaskan Southampton 5-2 kelmarin menjadi detik terbaik buat bintang England itu.

    Jaringan 39 gol dalam 36 perlawanan yang dilakukannya itu berjaya memecah rekod Alan Shearer bagi jaringan terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam setahun selepas Shearer mengumpul 36 gol dalam 42 perlawanan pada 1995.

    Mungkin apa yang lebih memberangsangkan, Kane akan menamatkan kempen tahun ini dengan 56 gol untuk kelab dan negara, iaitu lebih dua gol daripada bintang Barcelona Messi dan tiga gol mengatasi Ronaldo dari Real Madrid.

    Kane muncul pemain pertama untuk menghabiskan kalendar tahunan dengan enam hatrik EPL.

    Harry Kane (tengah) bersama rakan sepasukannya Dele Alli dan Son Heung-min bergembira selepas Kane berhasil menjaringkan gol dalam perlawanan tempoh hari di Stadium Wembley. – AP

    Penyokong Tottenham menyambut kejayaan wira kelab itu dengan mencipta satu lagu khusus buat Kane selepas pemain itu menyerlah pada penampilan pertama kelab dengan 21 gol liga pada musim 2014-2015.

    Kane kemudian menghasilkan 25 dan 29 lagi gol dalam dua kempen seterusnya dan bagi saingan musim ini sudah mengumpul 18 gol.

    “Adakah itu membuat saya bersemangat? Mungkin, ia selalu bermain di fikiran saya,” kata Kane.

    “Saya selalu menyatakan bahawa apabila ada pihak meragui kemampuan saya, saya mahu membuktikan mereka salah sama ada ketika saya masih muda atau sekarang. Sudah menjadi pegangan saya seperti itu sejak muda lagi

    “Saya akan terus berusaha untuk meningkat. Ia lagu melucukan yang dinyanyikan oleh penyokong dan saya akan terus melakukan untuk sembilan, 10 musim dan lihat di mana saya akan berada nanti.”

    Kejayaan mengatasi rekod Messi dan Ronaldo sememangnya memberi kepuasan buat pemain berusia 24 tahun itu, sekali gus bersedia menyahut cabaran untuk terus melakar sejarah seperti dua bintang berkenaan.

    “Bila anda lihat Messi dan Ronaldo, masih terlalu jauh untuk saya dibandingkan dengan mereka tapi ini satu permulaan dan apa yang saya mahu lakukan adalah terus memperbaiki prestasi.”

    “Itu menjadi objektif utama untuk berada dalam kelompok pemain terbaik dunia. Messi dan Ronaldo sudah berada dalam peringkat itu untuk tempoh yang lama.

    “Saya berbangga dan ini baru sahaja permulaan. Saya mahu melakukannya pada tahun mendatang. Mereka sudah berada dalam kelompok itu lapan ke sembilan tahun. Itu yang perlu saya lakukan dan itu matlamat utama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda