SYDNEY, 16 APRIL – Negara kecil di Pasifik, Tuvalu, hari ini melancarkan mesin ATM pertamanya, menandakan permulaan era baharu perbankan moden di kepulauan terpencil itu, yang disifatkan pegawai sebagai satu perubahan besar.
Selama bertahun-tahun, kira-kira 12,000 penduduk Tuvalu hanya melakukan urusan perbankan menggunakan wang tunai, dengan pekerja terpaksa beratur panjang untuk mengeluarkan gaji mereka di bank setiap kali hari gaji.
Kini, mereka boleh mengeluarkan wang hanya dengan meleret kad di ATM pertama Tuvalu.
Pengurus Besar Bank Negara Tuvalu, Siose Teo, menyifatkan pelancaran ATM itu sebagai satu pencapaian besar dan perubahan transformasi yang telah lama diusahakan.
Perdana Menteri, Feleti Teo pula menyifatkannya sebagai ‘peristiwa penting’ dengan ‘matlamat yang murni’.
Beberapa kenamaan turut berhimpun di hadapan ATM di pulau utama, Funafuti, bagi meraikan pelancaran tersebut dengan memotong kek coklat bersaiz besar.
“Ia pasti akan memecahkan sekatan dan memperkenalkan penduduk kepada perkhidmatan perbankan moden dan boleh dipercayai,” kata Nisar Ali daripada Pacific Technology Limited, syarikat yang terlibat dalam mereka bentuk mesin itu.
Dengan keluasan tanah 26 kilometer persegi, Tuvalu – sebuah negara yang diancam perubahan iklim – merupakan antara negara paling kecil dan terpencil di dunia. – AFP
