Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    TVET asas pembangunan ekonomi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) telah sekian lama dikenali sebagai batu asas bagi pembangunan ekonomi sesebuah negara di mana ia menyediakan negara berkenaan dengan tenaga manusia yang berkelayakan.

    Dengan rantau ASEAN menjadi lebih maju, permintaan bagi tenaga kerja yang berkemahiran juga meningkat, oleh itu, pelaksanaan Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK bukan sahaja amat bertepatan tetapi ia juga amat bersesuaian dengan matlamat untuk mengukuhkan bidang utama program-program TVET ASEAN bersama serta mengurangkan jurang dalam kompetensi kerja dalam kalangan negara-negara ASEAN.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Teknikal dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Pengiran Hajah Hamidah binti Pengiran Haji Hidup dalam ucapannya pada Majlis Mengalu-alukan Peserta Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; Pengarah Urusan Kolej Antarabangsa Micronet (MIC), Sylvester Yong, wakil-wakil duta dari Republik Korea, Kemboja, Republik Indonesia dan Myanmar, pegawai dan ahli fakulti MIC, IBTE serta peserta-peserta program.

    Terdahulu, Pengurus Besar dan Pengetua MIC, Sharon Chin mengalu-alukan kehadiran seramai 19 orang peserta dari lima negara anggota ASEAN iaitu dua dari Kemboja, tiga dari Myanmar, lapan dari Indonesia, tiga dari Filipina dan tiga orang dari Laos yang mengikuti program Computer and Information Service TVET Sector di MIC.

    Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK merupakan projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Korea Chamber of Commerce and Industry (KCCI) menerusi Dana Kerjasama ASEAN-ROK.

    MIC telah dipilih untuk menjadi institusi hos di Negara Brunei Darussalam bagi program berkenaan.

    Kumpulan pertama Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK memulakan pengajian mereka dari 10 Julai hingga 30 September.

    Pengiran Hajah Hamidah menyam-paikan ucapan pada majlis itu. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Sharon Chin menyampaikan kata alu-aluannya di Majlis Mengalu-alukan Peserta Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Antara peserta bagi Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Pengiran Hajah Hamidah dan jemputan khas bergambar-ramai dengan peserta-peserta Program Mobiliti TVET ASEAN-ROK, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...