Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    TVET berkualiti lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Kemahiran dan kecekapan tenaga kerja bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara di mana pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) adalah salah satu elemen penting dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi meningkatkan produktiviti ekonomi negara.

    Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah menegaskan perkara itu semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-31 pada sebelah pagi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau seterusnya mengongsikan, pada tahun ini IBTE telah memperolehi sebanyak 98 peratus kadar kepuasan majikan terhadap prestasi kerja graduan IBTE.

    “Kerjasama yang erat antara pihak berkepentingan termasuk sektor awam dan sektor swasta adalah salah satu kunci kejayaan program-program IBTE.

    “IBTE telah bergiat aktif dalam membuat kolaborasi bersama kedua-dua sektor ini bagi memastikan program-program yang dijalankan oleh IBTE adalah relevan serta memenuhi keperluan semasa dan keperluan akan datang,” jelasnya.

    Haji Mohamad Azmi semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen IBTE ke-31, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN IBTE
    ATAS & BAWAH: Antara graduan yang diraikan tersenyum gembira atas usaha yang telah dilakukan sepanjang tempoh pengajian. – GAMBAR SERAHAN IBTE
    GAMBAR SERAHAN IBTE

    Beliau seterusnya berharap, ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, IBTE akan terus membina sistem pendidikan TVET yang berkualiti, kompetitif, dan relevan, kerana ia bukan sahaja pelaburan jangka panjang, malah ia adalah manfaat berterusan kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

    Dalam ucapannya itu, beliau turut berkongsi beberapa inisiatif bagi mencapai sasaran yang dihasratkan, antaranya memastikan penyediaan pengajaran dan pembelajaran TVET yang inovatif, relevan, dan berkualiti.

    Selain itu, ia juga memperkukuhkan kerjasama dengan industri dan masyarakat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dan meningkatkan penekanan pada pengalaman praktikal dan penempatan kerja di industri.

    Beliau seterusnya menasihatkan para graduan, dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

    Para graduan juga diharap akan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, menerapkan etika kerja yang kuat serta berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai luhur.

    “Berbanggalah menjadi anak Brunei dan jagalah reputasi, kerana reputasi yang baik akan membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik,” nasihatnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...