Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – SEAMEO VOCTECH telah merasmikan Mesyuarat Lembaga Tadbir ke-35 yang berlangsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, hari ini.
Mesyuarat itu penting untuk SEAMEO VOCTECH mengongsi pencapaian dan perkembangan signifikan dari tahun 2023-2024, serta untuk menggariskan inisiatif strategik bagi tahun fiskal akan datang.
Selain ianya juga penting untuk memastikan bahawa ahli lembaga tadbir dilengkapi dengan baik, untuk membimbing arah pusat strategik dan mengawasi operasi dengan berkesan.
Majlis perasmian mesyuarat tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (PengajianTinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, selaku tetamu kehormat majlis.
Dr Haji Azman dalam ucapan perasmian antara lain menggariskan, SEAMEO VOCTECH di peringkat serantau telah memperjuangkan penyelidikan pelbagai topik bagi memastikan TVET di Asia Tenggara kekal sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang sentiasa berubah.
Katanya lagi, “Peranan pusat dalam perkongsian pengetahuan, khususnya melalui platform SEA-VET.net, telah memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama dan dialog dalam kalangan pengamal dan penggubal dasar TVET di seluruh rantau ini.
“Melangkah ke era perubahan pesat dalam ekonomi, industri dan teknologi adalah penting bagi SEAMEO VOCTECH untuk terus berinovasi dan kekal relevan,” jelasnya.
Beliau turut menambah, alam landskap global yang berubah dengan pantas sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri Keempat, TVET memainkan peranan penting dalam membina ekonomi lebih hijau dan mapan, masyarakat yang berdaya tahan serta permintaan terhadap pekerja berkemahiran tidak pernah pudar.
“Salah satu transformasi utama yang memberi kesan kepada dunia pekerjaan hari ini ialah peningkatan integrasi teknologi digital.
“Automasi, kecerdasan buatan dan internet sedang membentuk semula industri dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dan menyarankan TVET bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan kemahiran teknikal tradisional tetapi menyediakan pelajar untuk menavigasi kerumitan dalam peralatan dan teknologi digital,” jelasnya.
SEAMEO VOCTECH boleh terus memainkan peranan dengan sentiasa mengikuti perkembangan trend dan teknologi terkini dan menawarkan program latihan yang menggabungkan literasi digital, pengambilan keputusan berasaskan data dan kepakaran dalam industri 4.0.
Sejajar dengan kemajuan teknologi, pergerakan global ke arah kemampanan mendorong keperluan untuk kemahiran hijau yang menyokong pemeliharaan alam sekitar, kecekapan tenaga dan pembangunan mampan.
Beliau seterusnya menekankan institusi TVET mesti menyepadukan kecekapan tersebut ke dalam kurikulum mereka untuk menyediakan tenaga kerja bagi pekerjaan hijau, yang berkembang pesat dalam sektor seperti tenaga, pertanian dan pemuliharaan alam sekitar.
“Satu lagi peranan utama TVET dalam dunia hari ini adalah untuk memupuk keterangkuman, memastikan peluang pendidikan dan latihan boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, jantina atau lokasi geografi,” tambahnya.
SEAMEO VOCTECH boleh memperjuangkan TVET inklusif dengan menyokong dasar dan inisiatif yang menggalakkan akses sama rata kepada pendidikan dan latihan berkualiti, katanya dan itu termasuk menyokong kesaksamaan jantina dalam bidang teknikal tradisional yang didominasi lelaki, meningkatkan peluang untuk pelajar di kawasan luar bandar dan terpencil dan memperluaskan jangkauan TVET.
Turut hadir menyaksikan perasmian mesyuarat itu, Sekretariat SEAMEO Ex-Officio, Pintip Iamnirath, Pengerusi Lembaga Tadbir SEAMEO VOCTECH, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, penga-rah pusat SEAMEO VOCTECH, ahli-ahli Lembaga Tadbir, pemimpin pendidikan serantau dan pihak pengurusan dan kakitangan SEAMEO VOCTECH. Sepanjang mesyuarat itu, Sesi Perkongsian dengan tema TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital yang diadakan esok.
Sesi itu akan menyediakan platform yang berharga bagi negara-negara anggota SEAMEO dan rakan-rakan untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik dan meneroka peluang kerjasama untuk memajukan TVET di seluruh rantau ini.