Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    TVS cadang buka pejabat baharu suku pertama 2024

    KUCHING, 31 DIS – TV Sarawak (TVS) bercadang untuk membuka pejabat baharu di Sibu, Bintulu, Miri serta Kuala Lumpur menjelang suku pertama tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Kushairi Abang.

    Beliau berkata stesen televisyen milik kerajaan negeri Sarawak itu juga akan memperluas kerjasama dengan media nasional dan antarabangsa tahun depan.

    “Kita sedang mengatur langkah untuk bekerjasama dengan TV AlHijrah dan Astro Warna.

    Kita juga telah menghantar cadangan memorandum persefahaman (MoU) dengan Radio Television Brunei dan itu mungkin akan dimuktamadkan pada bulan Februari nanti.

    “Selain itu, kita juga sedang melihat peluang untuk bekerjasama dengan media di Indonesia,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran logo baharu TVS di sini, hari ini.

    Kushairi berkata antara objektif utama kerjasama dengan media lain di seluruh dunia adalah untuk mempromosikan Sarawak ke peringkat global.

    “Keutamaan kita adalah untuk bawa kandungan kita ke luar dan bukan setakat menjadikan Sarawakian sahaja sebagai penonton. Oleh sebab itu juga kita mahu rombak media sosial kita supaya mampu capai ke luar dari Sarawak,” katanya.

    Sementara itu, Kushairi berkata TVS juga sedang bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam peristiwa-peristiwa besar tahun depan dengan tumpuan khusus pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

    “Perbincangan aktif dengan RTM sedang berjalan untuk kerjasama bagi penyiaran SUKMA, menunjukkan komitmen stesen ini kepada acara-acara penting.

    “Selain itu, TVS berazam untuk mengambil bahagian dalam acara-acara penting lain yang dianjurkan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan,” katanya. – Bernama

    Pengerusi TVS, Datuk Norhyati Mohd Ismail (lima, kiri) bergambar kenangan bersama petugas-petugas TVS selepas melancarkan perasmian logo baharu TVS. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda