WASHINGTON, 7 JULAI – Twitter mengancam untuk menyaman syarikat induk Facebook, Meta, berhubung pelancaran platform baharunya, Threads, menurut satu laporan pada Khamis.
Portal berita Semafor yang memetik surat bertarikh Rabu melaporkan bahawa peguam Twitter, Alex Spiro menuduh Meta akan rahsia perdagangan “sistematik” dan “penyelewengan haram” berikutan pelancaran aplikasi Threads.
Agensi Anadolu melaporkan Spiro mendakwa perkhidmatan baharu itu dibangunkan oleh bekas pekerja Twitter yang menurutnya sengaja ditugaskan untuk mencipta aplikasi tiruan.
“Twitter berhasrat untuk menguatkuasakan hak harta inteleknya dengan tegas dan menuntut Meta mengambil langkah segera untuk berhenti menggunakan sebarang rahsia perdagangan Twitter atau maklumat sulit lain.
“Twitter mempunyai semua hak termasuk tetapi tidak terhad kepada hak untuk mendapatkan kedua-dua remedi sivil dan pelepasan injunksi tanpa notis lanjut,” menurut surat itu.
“Persaingan adalah baik, menipu tidak,” laporan itu merujuk Elon Musk membalas kepada satu ciapan.
Perkhidmatan baharu Meta itu dilancarkan pada Rabu.
Pengarah Komunikasi Meta Andy Stone memuat naik hantaran di Threads bahawa tiada seorang pun dalam pasukan kejuruteraan aplikasi itu adalah bekas pekerja Twitter. – Bernama

Ikuti berita lanjut dalam Edisi Sabtu/Ahad (Media Permata)

