Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Twitter dakwa Microsoft langgar peraturan rangkaian sosial

    SAN FRANCISCO, 19 MEI – Twitter kelmarin menuduh Microsoft melanggar peraturan rangkaian sosial bagi pembangun yang mengakses data platform, menurut salinan surat yang dilihat oleh AFP.

    “Microsoft berkemungkinan telah melanggar klausa perjanjian untuk tempoh masa yang panjang,” menurut surat yang ditandatangani oleh peguam Musk, Alex Spiro dan dihantar kepada Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella.

    Microsoft berhenti mengakses data Twitter pada April, memilih untuk tidak membayar Musk yang menuntut pembangun membayar yuran untuk Application Programming Interfaces (API) yang terlibat dengan platform, menurut surat itu.

    Twitter menggesa Microsoft untuk mengenal pasti semua kandungan Twitter yang telah dikawal oleh mereka sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini; bagaimana ia disimpan dan apa yang telah dilakukan dengannya, menurut surat yang dihantar kepada Nadella.

    Microsoft mengesahkan mereka menerima surat daripada firma guaman yang mewakili Twitter dengan mengajukan beberapa persoalan mengenai penggunaan API Twitter yang percuma sebelum ini.

    “Kami akan menyemak soalan-soalan tersebut dan memberikan respons,” kata jurucakap Microsoft semasa ditanya oleh AFP.

    “Kami tidak sabar untuk meneruskan kerjasama jangka panjang dengan syarikat tersebut.”

    Twitter menyatakan dalam surat tersebut bahawa mereka sedang menyiasat sama ada Microsoft melebihi ‘jumlah permintaan yang wajar’ yang boleh dianggap sebagai ‘penggunaan yang melampau’.

    Twitter mahu maklumat tersebut pada 7 Jun, menurut surat. – AFP

    Logo Twitter dilihat pada bahagian luar ibu pejabat Twitter di San Francisco, California, pada 28 Oktober 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda