Monday, May 29, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Twitter didenda AS$150j gagal lindungi privasi pengguna

    WASHINGTON, 27 MEI – Twitter akan membayar denda berjumlah AS$150 juta dan memasukkan ciri perlindungan baharu sebagai syarat untuk menyelesaikan dakwaan badan pengawal selia persekutuan yang mengatakan platform media sosial itu gagal melindungi privasi data pengguna dalam tempoh enam tahun.

    Jabatan Keadilan dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) mengumumkan penyelesaian dengan Twitter baru-baru ini. Dokumen tersebut mendakwa Twitter melanggar arahan FTC pada 2011 dengan memperdaya pengguna mengenai kejayaan syarikat mengekalkan dan melindungi privasi dan keselamatan maklumat kontak bukan awam mereka.

    Dari Mei 2013 hingga September 2019, Twitter memberitahu pengguna bahawa ia telah mengumpul nombor telefon dan alamat e-mel mereka untuk tujuan menjamin keselamatan akaun.

    Namun ia gagal mendedahkan ia juga akan menggunakan maklumat tersebut untuk membolehkan syarikat menghantar iklan dalam talian kepada pengguna dalam platform, menurut dakwaan kerajaan.

    Badan pengawal selia juga mengatakan dalam tindakan guaman persekutuan bahawa Twitter menipu dengan mendakwa ia mematuhi perjanjian privasi AS dengan Kesatuan Eropah dan Switzerland, yang melarang syarikat daripada memproses maklumat pengguna dalam cara yang bercanggahan dengan peraturan yang dibenarkan oleh pengguna.

    “Twitter memperoleh data daripada pengguna dengan dalih menggunakannya untuk tujuan keselamatan tetapi juga menggunakan data untuk menyasarkan pengguna dengan iklan,” kata pengerusi FTC, Lina Khan dalam kenyatan.

    “Amalan ini menjejas lebih daripada 140 juta pengguna Twitter, sementara menambah sumber pendapatan utama Twitter.”

    Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu mempunyai lebih daripada 229 juta pengguna di seluruh dunia.

    Denda sebanyak AS$150 juta dan langkah pematuhan baharu yang termaktub dalam syarat penyelesaian mesti diluluskan oleh mahkamah persekutuan di California. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China sedia hantar orang awam pertama ke angkasa lepas

    CHINA, 29 MEI - China akan menghantar angkasawan awam pertamanya ke angkasa lepas sebagai sebahagian daripada misi kru ke stesen angkasa Tiangong, esok, ketika...
    - Advertisment -