LOS ANGELES, 16 DIS – Beberapa wartawan yang membuat liputan mengenai Elon Musk digantung daripada Twitter kelmarin, beberapa hari selepas satu akaun yang menjejaki keberadaan jet peribadi Musk diharamkan daripada platform itu.
Antara akaun yang digantung ialah Ryan Mac dari The New York Times, Donie O’Sullivan dari CNN, Matt Binder dari Mashable, Drew Harwell dari The Washington Post, pakar politik Keith Olbermann dan Steve Herman dari Voice of America yang dibiayai kerajaan, lapor agensi akhbar Jerman (dpa).
Catatan terakhir Harwell sebelum akaunnya digantung ialah mengenai Twitter menamatkan akaun seorang daripada pesaingnya, Mastodon, kerana menyiarkan pautan ke versi akaun @ElonJet sendiri yang menjejaki pesawat Musk, menurut ciapan wartawan NBC News, Ben Collins.
Ciapan terakhir Olbermann pula adalah meminta orang ramai menulis semula perkataan demi perkataan catatan Harwell dan memautkan ke artikel wartawan bebas Aaron Rupar yang akaunnya juga digantung, selepas mengkritik Musk kerana ‘cosplay populisnya’ semasa menjadi antara lelaki terkaya di dunia.
Mac menerusi akaun baharunya menulis bahawa beliau tidak diberi amaran atau penjelasan atas penggantungan akaunnya.
“Saya membuat laporan di Twitter, Elon Musk dan syarikatnya. Dan saya akan terus berbuat demikian,” tulisnya.
Collins mengesahkan dalam ciapan di akaun baharu, @MacSilenced, adalah Mac sebenar.
Sembilan atau lebih akaun yang digantung pada malam kelmarin bukanlah yang pertama ditamatkan selepas ciapan mengenai Musk.
Akaun @ElonJet yang sebelum ini digantung, diaktifkan semula sekejap dan kemudiannya dikeluarkan walaupun Musk berjanji sebelum ini untuk membiarkan akaun itu. – Bernama


