BEIJING, 2 JUN – Twitter telah meminta maaf kerana menggantung beberapa akaun yang mengkritik China, beberapa hari sebelum ulang tahun ke-30 tindakan keras Dataran Tiananmen.
Kenyataan maaf keluar selepas aktivis berkata beratus akaun Twitter yang mengkritik Parti Komunis, dari ‘dalam dan luar’ China, digantung pada minggu lalu.
Meskipun disekat di China, Twitter dan laman media sosial luar negara yang lain telah lama digunakan oleh aktivis dan pengkritik kerajaan untuk membincang subjek yang ditapis di forum domestik.
Namun dalam kes ini, Twitter berkata semalam pihak berkuasa China tidak melaporkan akaun berkenaan atau meminta penggantungan.
Sebaliknya, firma berkata mereka terbabit dalam usaha berterusan untuk membersihkan akaun yang ‘terlibat dalam pelbagai manipulasi platform, termasuk spam dan tingkah laku lain yang tidak sah.’
Di antara akaun yang disekat adalah kepunyaan penulis penentang dan aktivis yang telah membantu mendokumenkan kehilangan penduduk Uighur, penduduk minoriti di rantau Xinjiang di China, kata Cao Yuexin, pengasas laman hak asasi manusia China Change.
Senator AS Marco Rubio menulis di Twitter bahawa platform itu telah menjadi ‘penapis kerajaan China.’
“Kadangkala tindakan rutin kami membuat kami melakukan kesilapan,” kata Twitter. – AFP