Oleh Sim Y. H.
Hubungan persahabatan yang terjalin, keindahan flora dan fauna serta layanan mesra dan sikap peramah rakyat serta penduduk Brunei antara pengalaman yang sukar dilupakan buat Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay yang menamatkan perkhidmatannya, baru-baru ini.
Beliau yang mula menjejaki kaki di bumi Brunei Darussalam, kira-kira tiga tahun lalu bagi penempatan antarabangsa pertama dan dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi British di sini berkata, menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat Brunei merupakan pengalaman indah dan luar biasa dan menjadikannya lebih matang dalam meniti setiap kenangan yang dilalui.
“Saya akan balik ke United Kingdom dengan membawa seribu kenangan dan memori indah sepanjang perkhidmatan saya di Brunei, yang mana ia akan membuatkan saya merindui keindahan alam semula jadi yang menjadi pendamping ketika saya melakukan larian,” jelasnya semasa ditemu bual oleh Media Permata sebelum beliau meninggalkan Negara Brunei Darussalam di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
TYT Richard Lindsay menambah walaupun baru tiba di Brunei ketika itu, beliau berpeluang meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila turut dijemput menghadiri majlis-majlis rumah terbuka dan mendapat layanan yang sungguh mesra, yang menurutnya lagi, sambutan itu menunjukkan semangat perpaduan dan kemesraan rakyat serta penduduk di sini.
Persahabatan Brunei-UK terus erat
Ketika mengulas mengenai hubungan persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK), beliau berkata terdapat tiga perkara yang menjadi tunggak kepada hubungan tersebut iaitu keakraban kerabat diraja kedua-dua negara yang meliputi kunjungan ke negara masing-masing, hubungan pertahanan yang menyaksikan lawatan dan eksais bersama angkatan tentera dan hubungan persahabatan rakyat dan penduduk bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi juga kebudayaan, sukan dan kekeluargaan.
Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan dua hala di antara Brunei dan UK akan terus diperkukuhkan lagi dan akan mencapai tahap yang lebih tinggi khususnya dengan UK yang secara rasminya berundur dari Kesatuan Eropah (EU) pada Januari 2020 lalu.
Katanya lagi, walaupun UK keluar dari EU, ia tidak akan memberikan kesan besar kepada Brunei malah akan membuka ruang serta peluang bagi kedua-duanya untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai dengan pelbagai inisiatif dan kerjasama yang dikendalikan bersama pelbagai agensi kerajaan serta juga pertubuhan bukan kerajaan sepanjang kepimpinannya sebagai pesuruhjaya tinggi British, beliau berkata amat gembira kerana dapat menjalin pelbagai kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang kebajikan, pendidikan dan alam sekitar.
“Secara peribadi, saya amat gemar dengan keindahan alam semula jadi Negara Brunei Darussalam dan bagi saya keindahan hutan hujan Brunei merupakan satu tarikan yang boleh sahaja dijadikan tarikan pelancong,” tekannya.
TYT Richard Lindsay yang gemar melakukan aktiviti berlari dan cenderung dengan alam sekitar, pada November 2019 telah mengambil keputusan untuk membuat larian amal sepanjang persisiran pantai Brunei sejauh 130km bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan pantai.
“Larian itu memberikan penekanan kepada dua perkara yang amat dekat pada hati saya iaitu menjaga keindahan alam semula jadi dan menghulurkan bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak istimewa di Pusat SMARTER Brunei kerana saya sendiri mempunyai anak saudara yang autistik,” ujarnya.
Beliau juga mengimbas kembali kejayaan Kempen Drop Your Blood Letters iaitu kempen terakhir yang diterajuinya sebagai pesuruhjaya tinggi British di sini, di mana beliau menyatakan bahawa idea asal bagi kempen itu lahir daripada pegawai serta kakitangan suruhanjaya tinggi dan beliau memberikan sokongan untuk melaksanakan kempen tersebut dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah sama-sama menyokong kempen itu dan menyebarkan mesej kesedaran pentingnya untuk menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.
Ketika mengakhiri temu bual itu, TYT Richard Lindsay turut menyatakan penghargaan kepada semua rakannya yang telah mewujudkan kenangan dan pengalaman indah buat dirinya dan keluarganya semasa berada di sini dan beliau yakin akan kembali untuk melawat Brunei pada masa akan datang.