Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tyzo dapat 2.5 juta tanda suka

    Bekas penyampai radio Malaysia, Suria FM, Tyzo Xander, 48, bersyukur berjaya meraih 2.5 juta likes (tanda suka) dengan lebih 76,800 penonton sepanjang bersiaran kali kedua dalam platform audio siar (podcast) menerusi TikTok malam tadi.

    Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, dia mula bersiaran pada jam 12 tengah malam tadi selama sejam dalam program yang bertemakan Malam Jumaat (MJ), Manja Manja Jer…itu.

    “Alhamdulillah, itu kali kedua saya bersiaran dalam platform audio siar dan terus mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

    “Kali pertama bersiaran pada Jumaat minggu lalu pada jam 5:30 petang, ia dapat tanda suka 3.5 juta dengan 130,000 penonton sepanjang sejam bersiaran,” katanya kepada Harian Metro.

    Mengenai topik pula, kata Tyzo, program Tyzo Radio Podcast sembang-sembang juga untuk memberikan peluang kepada pendengar untuk memberikan ucapan pada insan tersayang terutama pasangan masing-masing.

    Tyzo akan tampil dengan topik lebih menarik agar tidak membosankan pendengar. – sinar harian

    “Topik yang dibincangkan santai saja. Saya juga akan perbaiki lagi untuk tampil dengan topik lebih menarik agar tidak membosankan pendengar,” katanya.

    Sementara itu, ditanya tawaran sebagai penyampai radio pula, kata Tyzo, dia masih lagi dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak stesen radio kerajaan dan swasta.

    “Setakat ini, masih belum ada kata putus lagi dari mana-mana stesen radio. Buat sementara waktu, saya teruskan dulu dengan platform audio siar ini dulu.

    “Namun, saya akan pastikan dapat keputusan muktamad daripada pihak stesen berkenaan selepas kontrak saya dengan stesen terdahulu berakhir secara rasmi pada 9 Mac ini,” katanya.

    Tyzo berkata, dia juga tidak kisah untuk bersiaran pada slot pagi, petang ataupun malam nanti.

    “Saya masih mahu bekerja sebagai penyampai radio yang sudah sebati dengan diri sejak dulu. Sebab itu saya tidak kisah diletakkan dalam slot petang atau malam dan ia bergantung pada stesen terbabit melihat kekuatan saya di mana,” katanya.

    Mengulas soal gaji pula, kata Tyzo, dia juga tidak akan demand dalam perkara itu.

    “Saya cuma mahu ruang dan peluang diberikan pihak stesen radio. Dari segi gaji sudah tentu saya nak yang terbaik.

    “Saya percaya ia boleh dicapai menerusi perbincangan untuk mencari kata sepakat. Doakan saya dapat peluang kerja demi kelangsungan hidup bersama anak,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda