Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tze Yong kembali berlatih

    KUALA LUMPUR, 14 FEB – Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, sejak minggu lepas dan dijangka membuat kemunculan semula pada April ini.

    Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu berkata sesi latihannya terpaksa dihadkan kepada lebih kurang sejam berikutan masih menghadapi trauma jika mengalami kesakitan, dan pada masa sama bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

    “Dalam seminggu, saya dapat berlatih tiga kali kerana di ISN (Institut Sukan Negara) pun ada (latihan). Memang saya dapat menjalani latihan penuh tetapi tempoh itu tidak terlalu lama, lebih kurang sejam.

    “Kalau ada rasa sakit memang akan rasa trauma namun tetap positif sebab sudah kembali dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sebagai rekod, Tze Yong hanya beraksi tiga kejohanan pada musim lepas, sebelum terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang dialami.

    “Kondisi saya sudah semakin baik, kira-kira dalam 60 peratus tetapi kena tengok semula bagaimana. Memang saya sasarkan April (kembali beraksi) dan gunakan (perlindungan) ranking untuk bermain setengah tahun,” katanya.

    Sebelum ini, jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata Tze Yong perlu menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan sebelum akhir April bagi mengekalkan kedudukan ke-18 selama enam bulan lagi.

    Sekiranya Tze Yong gagal berbuat demikian, beliau akan kehilangan semua mata ranking dan terkeluar sepenuhnya daripada senarai ranking dan memaksanya untuk memulakan semula dari awal. – Bernama

    Sesi latihan Ng Tze Yong terpaksa dihadkan kepada lebih kurang sejam berikutan masih menghadapi trauma jika mengalami kesakitan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda