Saturday, April 13, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tze Yong sedia sertai BATC 2024

    KUALA LUMPUR, 6 FEB – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong sudah bersedia untuk diturunkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas mengesahkan dirinya sudah pulih daripada kecederaan belakang yang dialami di Terbuka Malaysia Januari lepas.

    Pemain yang menduduki ranking ke-15 dunia itu berkata beliau telah memulakan latihan di gelanggang namun masih memerlukan sedikit masa untuk cergas sepenuhnya.

    “Sekarang ini, saya tak rasa sakit. Namun, saya belum 100 peratus cergas sebab ketika main (sesi latihan) saya belum dapat perasaan macam main sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di ABM Bukit Kiara di sini hari ini.

    Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu berkata beliau perlu berhati-hati pada sesi latihan bagi mengelak kecederaan berulang.

    Tze Yong tersenarai dalam skuad badminton Malaysia di kejohanan BATC 2024 bersama Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

    Beregu lelaki bakal menyaksikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai saingan bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

    Pada edisi kali ini, Malaysia yang turun sebagai juara bertahan kategori berpasukan lelaki diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

    Sementara itu, Tze Yong berkata dia optimis pasukan Malaysia mampu memberikan saingan sengit namun mengakui ia bukan tugas mudah untuk mempertahankan gelaran kali ini.

    “Dua tahun lepas, mungkin banyak pasukan tak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pencuri Lego guna penggera kebakaran

    WELLINGTON, 12 APRIL - Seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditangkap dan didakwa atas 30 pertuduhan mencuri permainan...