Sunday, January 5, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tze Yong, Wei Chong-Kai Wun tersingkir

    KUALA LUMPUR, 18 OKT – Pemain badminton perseorangan Malaysia, Ng Tze Yong dan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada Terbuka Denmark 2023 di Odense, hari ini.

    Walaupun baru merangkul gelaran naib juara Terbuka Artik 2023 pada Ahad lepas, pemain nombor 17 dunia Tze Yong, gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pemain China, Lu Guang Zu, 18-21, 11-21, dalam kejohanan Super 750 itu yang berlangsung di Jyske Bank Arena.

    Ini merupakan kekalahan ketiga Tze Yong dalam empat pertemuan dengan Guang Zu, sejak kedua-dua pemain bertemu pertama kali dalam pusingan pembukaan Terbuka Malaysia 2022.

    Pada final Terbuka Artik 2023 yang berlangsung di Vantaa, Finland, atlet asal Johor itu tunduk kepada rakan senegara, Lee Zii Jia, 14-21, 15-21.

    Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun mengalami nasib sama apabila disingkirkan oleh pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dengan 18-21, 16-21.

    Bagaimanapun, beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien menceriakan sedikit kem badminton Malaysia apabila berjaya menewaskan pasangan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau, 21-18, 19-21, 21-17, dalam pertarungan sengit yang berlarutan selama sejam 19 minit.

    Vivian-Chiew Sien akan berdepan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam selepas gandingan Hong Kong itu menerima kemenangan percuma daripada pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada pusingan pertama. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda