Friday, April 25, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UAE bantu Cyprus atasi krisis air musim panas

    NICOSIA, 24 APRIL – Cyprus akan menerima loji nyahgaram mudah alih secara percuma daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memenuhi keperluan air negara pulau itu yang bergantung kepada industri pelancongan, susulan paras takungan air yang hampir kering, menurut pegawai hari ini.

    Menteri Pertanian dan Alam Sekitar, Maria Panayiotou, memberitahu penyiar negara UAE bersetuju untuk membekalkan Cyprus tanpa sebarang kos sejumlah loji nyahgaram mudah alih yang mampu menghasilkan gabungan sebanyak 15,000 meter padu air boleh minum setiap hari.

    Panayiotou tidak mendedahkan tarikh sebenar loji-loji itu akan tiba dan beroperasi.

    Namun, beliau berkata pihak berkuasa UAE sedar akan keperluan yang sangat mendesak itu, memandangkan musim pelancongan pada musim panas akan bermula dan permintaan air akan berada pada tahap tertinggi.

    Beliau berkata perjanjian ini merupakan hasil rundingan rahsia selama beberapa bulan bagi menangani keperluan air Cyprus yang menjadi semakin kritikal selepas satu kebakaran yang telah memusnahkan salah satu daripada lima loji nyahgaram statik.

    Maria Panayiotou, di sidang media ‘Wanita dalam maritim’, pada 22 Januari. -Agensi

    Perkara itu telah menyebabkan bekalan air untuk pertanian terpaksa dipotong iaitu bagi setiap loji statik yang menghasilkan sebanyak 235,000 meter padu air segar setiap hari.

    Loji itu dijangka tidak akan kembali beroperasi sebelum Ogos dan loji mudah alih dari UAE akan menggantikan kapasiti air yang hilang, kata Panayiotou.

    Juruteknik masih meneliti lokasi paling sesuai untuk menempatkan loji-loji mudah alih tersebut agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

    Beliau tidak menyatakan bila loji-loji itu akan dipulangkan semula kepada UAE.

    Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides, mendedahkan perjanjian dengan UAE dalam satu wawancara bersama stesen TV tempatan ANT1 dan menyifatkan perjanjian itu sebagai hasil daripada usaha diplomatik yang diperluaskan oleh Cyprus serta hubungan erat yang dibina khususnya dengan UAE dan negara serantau lain.

    Panayiotou berkata, tanpa mengira bantuan dari UAE, kerajaan akan tetap meneruskan perancangan dalam jangka sederhana dan panjang untuk menyelesaikan isu kekurangan air di pulau itu secara berterusan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda