DUBAI, 21 MEI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mencapai persetujuan dengan Israel untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Semenanjung Gaza yang terkepung, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini di media negara itu.
Israel telah menerima tekanan antarabangsa untuk meninggalkan kempen ketenteraan yang dipergiatkan di Gaza dan membenarkan bantuan masuk ke wilayah itu, di mana agensi kemanusiaan mengatakan sekatan menyeluruh telah mengakibatkan kekurangan makanan dan ubat-ubatan yang kritikal.
Israel berkata 93 trak bantuan telah memasuki Gaza dari Israel kelmarin tetapi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata bantuan itu telah ditahan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed, membuat panggilan telefon kepada Menteri Luar Negeri Israel, Gideon Saar, yang membawa kepada persetujuan untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera dari UAE,” menurut kenyataan di agensi berita rasmi WAM.
“Bantuan itu akan memenuhi keperluan makanan kira-kira 15,000 orang awam di Semenanjung Gaza pada fasa awal,” katanya.
“Inisiatif itu akan menyediakan bekalan penting untuk menyokong operasi kedai roti di Semenanjung Gaza, serta barangan penting untuk penjagaan anak damit, sambil memastikan bekalan berterusan bagi memenuhi keperluan orang awam,” tambah kenyataan itu.
AFP telah menghubungi pihak berkuasa Israel untuk mendapatkan komen.
Bagaimanapun, tidak diketahui bila bantuan UAE akan dihantar ke Gaza, atau bila ia akan diagihkan. – AFP
