ABU DHABI, 4 NOV – Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuka sidang tahunan minyak dan gasnya hari ini dan berjanji untuk meningkatkan pengeluaran tenaga walaupun ketika harga global telah jatuh dan politik dunia kekal tidak menentu menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).
Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi itu diadakan setelah UAE menjadi tuan rumah Perbincangan Iklim COP28 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun lalu.
Perbincangan itu berakhir dengan seruan daripada hampir 200 negara untuk beralih dari bahan api fosil – juga merupakan kali pertama sidang tersebut membuat janji penting itu.
Bagaimanapun, UAE masih merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyaknya kepada lima juta tong sehari dalam beberapa tahun akan datang sementara memburu tenaga yang lebih bersih dalam negara.
Sementara itu, pegawai UAE berusaha mengelak daripada menjawab sebarang pertanyaan mengenai pilihan raya AS sambil mengekalkan hubungan rapat mereka dengan Rusia meskipun Moscow terlibat dalam perang di Ukraine.
Harga minyak mentah telah menurun tahun ini. Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras diperdagangkan sekitar AS$74 setong hari ini, di mana harga telah jatuh setelah kebimbangan berhubung perang di Timur Tengah berkembang menjadi konflik serantau berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Namun, pertumbuhan ekonomi yang perlahan di China dan bekalan yang banyak di pasaran turut menjejas harga.
Dalam ucapan semasa membuka sidang tersebut, Al-Jaber menekankan kecerdasan buatan sebagai teknologi masa depan yang boleh digunakan oleh industri tenaga – satu teknologi yang memerlukan elektrik dalam jumlah besar. – AP