UAE komited imbangi pasaran mentah

ABU DHABI, 8 SEPT – Pengeluar minyak akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengimbangi pasaran mentah yang kini sedang berdepan dengan ketegangan perdagangan dan pasaran global yang tidak menentu, kata Menteri Tenaga Emiriah Arab Bersatu hari ini.

Suheil al-Mazrouei memberi amaran bahawa dengan keadaan dunia kini yang sedang menyaksikan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, pemotongan tambahan dalam pengeluaran minyak mungkin bukan cara terbaik untuk meningkatkan kembali harga pasaran yang merosot.

“Pemotongan pengeluaran yang berlebihan bukan keputusan yang sewenangnya diputuskan,” kata menteri itu menjelang Kongres Tenaga Dunia selama empat hari bermula hari ini di Abu Dhabi, di mana pertemuan penting para menteri minyak juga akan diadakan pada hari Khamis.

Mazrouei memberitahu sidang akhbar bahawa pengeluar minyak terjejas oleh ‘kebimbangan lain’ selain bekalan dan permintaan.

“Apa-apa yang dilihat oleh kumpulan itu yang akan mengimbangi pasaran, kami komited untuk membincangkannya dan berharap dapat meredakannya dan melakukan apa yang diperlukan,” katanya.

“Tetapi saya tidak akan menyarankan untuk mengurangkan lagi pengeluaran setiap kali kita mempunyai masalah mengenai ketegangan perdagangan.”

Jawatankuasa Kementerian Pemantauan Bersama OPEC (JMMC), yang diwujudkan oleh pakatan ahli kartel minyak OPEC dan pengeksport minyak mentah, dijadualkan akan mengadakan pertemuan pada hari Khamis untuk menilai pasaran minyak. – AFP