Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UAE labur berbilion euro bina pusat data AI di Perancis

    PARIS, 7 FEB – Presiden Perancis kelmarin mengumumkan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melabur berbilion euro untuk membina pusat data kecerdasan buatan (AI) yang besar di negara itu.

    Pusat tersebut akan menjadi teras bagi kampus AI baharu dan akan mempunyai kapasiti sehingga satu gigawatt, “mewakili pelaburan sebanyak 30 hingga 50 bilion euro,” menurut kenyataan dari pejabat Presiden Perancis.

    Ia adalah sebahagian daripada perjanjian AI yang lebih besar yang ditandatangani antara Presiden Perancis Emmanuel Macron dan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Paris kelmarin.

    Pusat data AI itu dijangka akan menyimpan data dan menyediakan tenaga besar diperlukan untuk teknologi baharu itu.

    Kampus tersebut akan menjadi yang terbesar di Eropah yang dikhaskan untuk AI, kata pejabat Presiden.

    Projek itu diumumkan dan ditandatangani ketika pakar-pakar global mula membincangkan ancaman dan manfaat AI di satu pertemuan di Paris kelmarin dan hari ini, menjelang sidang kemuncak pemimpin dunia mengenai teknologi yang berkembang pesat itu.

    Ribuan orang dijangka hadir di acara Paris itu, yang bertujuan untuk mencari titik persamaan mengenai teknologi yang telah menjejas banyak sektor perniagaan dalam tempoh kurang dua tahun, serta memastikan Perancis dan Eropah kekal relevan dalam perlumbaan AI global. – AFP

    Presiden UAE, Sheikh Mohamed dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bercakap ketika menghadiri majlis menandatangani perjanjian di istana presiden Elysee di Paris pada 6 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda