Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UAE rasmikan projek air utama di Gaza

    GAZA, 29 OGOS – Satu delegasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini merasmikan projek saluran paip air bagi mengangkut air yang telah dinyahgaram dari loji penyahgaraman Emiriah di Mesir ke Semenanjung Gaza, langkah penting bagi membekalkan air minuman kepada puluhan ribu keluarga yang berdepan kekurangan teruk sejak tercetusnya perang.

    Menurut agensi berita Emirates (WAM), majlis perasmian yang dianjurkan melalui Operasi Chivalrous Knight 3 di Gaza itu turut dihadiri jawatankuasa sokongan operasi, wakil Utiliti Air Perbandaran Pesisir, para kenamaan serta pemimpin masyarakat.

    Operasi itu secara rasmi mengumumkan permulaan pengepaman air ternyahgaram melalui talian penghantaran dari Mesir ke selatan Gaza.

    Saluran paip itu, yang terbesar seumpamanya, sepanjang 7.5 kilometer dengan kapasiti kira-kira dua juta gelen sehari, berkhidmat kepada lebih sejuta penduduk. Ia telah disambungkan ke takungan Al-Buraq di Khan Younis berkapasiti 5,000 meter padu (m³), memastikan kawasan tambahan turut mendapat akses kepada air bersih.

    Projek penting ini meneruskan usaha berterusan UAE di Gaza, termasuk menubuhkan enam loji penyahgaraman, menyediakan takungan dan tangki air serta menyelenggara telaga. Ia merupakan talian hayat penting bagi penduduk Gaza dan membantu meringankan krisis air yang menjejaskan ratusan ribu orang pelarian.

    Selepas perasmian itu, wartawan, wakil masyarakat sivil dan pemimpin komuniti dibawa meninjau saluran paip serta takungan di beberapa buah kawasan bagi melihat proses pengepaman air dan lokasi pengagihan bekalan air minum di seluruh Semenanjung Gaza.

    Projek itu menyerlahkan komitmen UAE serta dedikasi kepimpinan negara itu dalam menyokong rakyat Gaza dan menyediakan bantuan yang menyelamatkan nyawa melalui operasi berkenaan. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 20 Jun 2024 menunjukkan penduduk Palestin berkumpul untuk mengisi bekas air di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda