Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    UAE setuju bekal gas, diesel kepada Jerman

    ABU DHABI, 25 SEPT – Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini bersetuju pada perjanjian ‘keselamatan tenaga’ dengan Jerman untuk membekalkan gas asli cecair dan diesel ketika Berlin mencari sumber kuasa baharu untuk menggantikan bekalan Rusia.

    Menteri Perindustrian Emiriah, Sultan Ahmed Al Jaber menggelarnya sebagai ‘perjanjian mercu tanda baharu’ yang ‘mengukuhkan perkongsian tenaga yang berkembang pesat antara UAE dan Jerman’, pada majlis menandatangani perjanjian yang dihadiri Canselor Jerman Olaf Scholz, lapor agensi berita WAM, UAE.

    Scholz dalam lawatan ke UAE sebagai sebahagian daripada jelajah Teluk yang juga termasuk persinggahan di Arab Saudi dan Qatar.

    Beliau bertemu dengan Presiden Emiriah, Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan, yang berkata dalam Twitter selepas itu, mereka telah berbincang mengenai ‘peluang lebih lanjut untuk kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan tenaga, pengurangan pelepasan dan tindakan iklim’.

    Pemimpin Jerman itu berkata dia ‘mengalu-alukan’ perjanjian ‘keselamatan tenaga’, menurut WAM.

    Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, UAE akan menyediakan ‘kargo LNG bagi penghantaran pada akhir 2022, untuk digunakan di terminal import LNG terapung Jerman di Brunsbuettel’, sebuah pelabuhan North Sea, tambah laporan WAM.

    Syarikat minyak negara UAE, ADNOC melengkapkan penghantaran diesel pertamanya ke Jerman awal bulan ini, dan akan ‘membekalkan sehingga 250,000 tan diesel sebulan pada 2023’, katanya.

    “ADNOC telah menempah beberapa lagi kargo LNG secara eksklusif untuk pelanggan Jerman pada 2023,” katanya.

    Hari ini adalah hari kedua dan terakhir jelajah Teluk Scholz, yang diharapkannya dapat memeterai perjanjian tenaga baharu untuk menggantikan bekalan Rusia dan mengurangkan krisis tenaga akibat serangan Moscow ke atas Ukraine. – AFP

    Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed al-Nahyan bersama Olaf Scholz menyaksikan penandatanganan perjanjian Pemacu Keselamatan dan Industri Tenaga Baharu di istana al-Shati, Abu Dhabi pada 25 September. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...