Sunday, June 30, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    UAE sumbang AS$20 juta kepada UNHCR untuk krisis Sudan

    GENEVA, 27 JUN – Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin menandatangani perjanjian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menyumbang AS$20 juta bagi menyokong operasi kemanusiaan UNHCR di Sudan dan negara-negara jiran.

    Agensi berita Emirates, WAM melaporkan bahawa dana itu bertujuan untuk meningkatkan keadaan hidup dan keselamatan orang yang kehilangan tempat tinggal dan pelarian.

    Perjanjian yang dimeterai antara Kementerian Luar UAE (MOFA) dan UNHCR itu telah ditandatangani bagi pihak UAE oleh Pembantu Menteri untuk Hal Ehwal Pembangunan Antarabangsa, Sultan Al Shamsi dan bagi pihak UNHCR oleh Ketua Perkhidmatan Hubungan Penderma dan Mobilisasi Sumber, Mark Manly.

    Turut hadir, Pembantu Menteri Hal Ehwal Luar untuk Hal Ehwal Politik, Lana Zaki Nusseibeh dan Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian, Filippo Grandi, di ibu pejabat UNHCR di Geneva.

    Dana itu akan digunakan untuk menambah baik tempat perlindungan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas untuk ribuan individu yang kehilangan tempat tinggal di Sudan dan Sudan Selatan.

    Lana Zaki Nusseibeh berkata komitmen UAE terhadap isu kemanusiaan diperkukuh melalui perkongsian strategik seperti ini dengan UNHCR.

    “Bersama-sama, kita dapat memberi impak yang signifikan di lapangan di Sudan, memberikan bantuan dan harapan kepada mereka yang terjejas. Kami tetap teguh berdiri bersama rakyat Sudan semasa krisis ini,” katanya.

    Sumbangan UAE kepada UNHCR adalah sebahagian daripada komitmen lebih luas berjumlah AS$70 juta yang didedikasikan untuk menangani keperluan kemanusiaan mendesak di Sudan melalui agensi PBB dan organisasi kemanusiaan.

    Sumbangan itu menjadikan jumlah bantuan UAE kepada Sudan dalam tempoh 10 tahun lepas kepada lebih daripada AS$3.5 bilion. – Bernama

    Pesakit menerima rawatan di Hospital Onkologi Gedaref, Sudan pada Mei 2024 akibat perang di Sudan. UAE telah menawarkan sumbangan kepada UNHCR. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...