Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    UAE umum pelaburan AS$4.5 bilion dalam tenaga bersih Afrika

    NAIROBI, 5 SEPT – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan hari ini pelaburan AS$4.5 bilion dalam tenaga bersih di Afrika semasa sidang kemuncak iklim yang dianjurkan oleh Kenya, bertujuan menarik pembiayaan bagi usaha untuk mengatasi pemanasan global.

    “Kami akan memperuntukkan AS$4.5 bilion untuk memulakan projek-projek tenaga bersih yang boleh dibiayai di benua yang sangat penting ini,” kata Sultan Al Jaber, yang memimpin syarikat tenaga boleh diperbaharui milik kerajaan Masdar, Syarikat Minyak Nasional UAE, ADNOC dan rundingan iklim COP28.

    Ketua-ketua negara, pemimpin kerajaan dan industri adalah antara ribuan peserta pada sidang kemuncak Nairobi di mana Afrika mempromosikan potensinya sebagai kuasa tenaga bersih.

    Sidang Kemuncak Iklim Afrika itu akan diikuti dengan Sidang Kemuncak COP28 pada akhir tahun ini di Dubai, yang dijangka akan menampilkan agenda bersaing untuk masa depan tenaga dunia.

    “Jika Afrika kalah, kita semua kalah,” amaran Jaber, yang juga Menteri Industri dan Kemajuan Teknologi UAE.

    Al Jaber menyampaikan ucapannya semasa Sidang Kemuncak Iklim Afrika 2023 – AFP

    Beliau berkata pelaburan itu bertujuan “untuk mengembangkan 15 GW (gigawatt) kuasa bersih menjelang 2030” dan “memacu sekurang-kurangnya AS$12.5 bilion tambahan dari sumber pelbagai hala, awam dan swasta.”

    Pada tahun 2022, kapasiti penghasilan tenaga boleh diperbaharui benua itu adalah 56 gigawatt, menurut International Renewable Energy Agency.

    Acara tiga hari di Nairobi, yang bermula kelmarin, dianggap sebagai perhimpunan pemimpin-pemimpin Afrika untuk menentukan visi bersama pembangunan hijau di benua dengan populasi 1.4 bilion orang itu.

    Hari ini, sidang kemuncak itu akan mengemukakan cadangan untuk mereformasi struktur kewangan global yang menawarkan hanya sebahagian kecil daripada pelaburan dalam penyelesaian iklim bagi Afrika. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...