Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ubah besi buruk jadi seni

    KAHERAH – Garpu lama, patah dan berkarat mungkin membazir bagi kebanyakan orang, tetapi bagi penggiat seni Mesir Ammar Shiha, ia boleh diubah menjadi sayap burung atau ekor ikan dalam karya seni kreatifnya yang diperbuat daripada besi buruk.

    Di rumahnya di kampung Harraniya, wilayah Giza, Shiha mempamerkan pelbagai karya kebanggaannya, arca besi buruk yang memaparkan manusia, haiwan, ikan dan burung dalam sebuah bilik besar.

    Satu arca, yang kebanyakannya diperbuat daripada bekas besi motosikal, menggambarkan seorang lelaki bertiarap dan mengambil gambar dengan kamera.

    Antara karyanya yang lain menggambarkan seorang wanita duduk bermain kecapi. ‘Wanita’ itu diperbuat daripada kepingan besi buruk yang berbeza manakala kecapi pada asalnya adalah pintu kereta yang rosak.

    Shiha berkata semasa sesetengah orang membayar wang untuk menghilangkan besi buruk, dia membayar wang untuk mendapatkannya.

    Ammar Shiha mengimpal karya seninya di rumahnya di Giza, Mesir. – Xinhua
    Arca burung yang diperbuat daripada besi buruk yang direka oleh Shiha. – Xinhua
    Shiha membersihkan salah satu karya rekaannya. – Xinhua

    “Saya menggunakan bekas alat ganti kereta, motosikal dan basikal, serta sisa besi, aluminium, tembaga dan keluli tahan karat,” kata artis Mesir itu kepada Xinhua, sambil menambah bahawa dia juga menggunakan bolt lama, paku, pemutar skru, mesin basuh, nat dan mesin pemotong cakera dalam karyanya.

    Shiha, 50, memulakan bidang seni tersebut pada akhir 1990an, selepas dia berasa kagum dan diilhamkan oleh dua patung besi buruk yang dipamerkan di Muzium Seni Mesir Moden di Rumah Opera Kaherah, yang diukir oleh seorang artis veteran Mesir Salah Abdel-Karim, perintis Mesir dalam jenis seni ini.

    Dia bermula dengan memahat ayam jantan kecil daripada besi buruk dan membawanya ke pameran di Mesir, di mana karya seni itu memenanginya anugerah dan dihargai serta dikumpul oleh menteri kebudayaan ketika itu.

    Shiha berkata karyanya mendapat inspirasi daripada kampung luar bandar yang didiaminya, begitu banyak karya seninya menampilkan petani, penjual, dan orang bermain alat muzik tradisional atau mempersembahkan tarian tradisional, selain burung dan haiwan.

    Sejak permulaan kerjaya membuat arca besi buruk, Shiha telah menyertai banyak kumpulan dan pameran solo di dalam dan di luar Mesir, termasuk pameran di Perancis, Itali dan Arab Saudi.

    Shiha gembira kerana karyanya dapat menarik perhatian penonton tanpa mengira pendidikan atau latar belakang seni mereka.

    Pelanggan yang berminat dengan karya Shiha termasuk rakyat Mesir dan warga asing yang biasanya menempatkannya di hotel, kemudahan pelancong, syarikat, pejabat kerajaan dan pusat peranginan laut.

    Karya seni terbesar yang diciptanya berukuran lapan meter tinggi, yang kini dipasang di dataran bandar peranginan Marassi di pantai utara Mesir, dan yang terkecil ialah 12 sentimeter.

    Shiha berkata, dia mahu mengubah persepsi negatif terhadap besi buruk dan menyampaikan mesej menerusi karyanya bahawa besi buruk boleh digunakan untuk mencipta sesuatu yang positif, berguna dan cantik.

    “Kepingan besi buruk yang sama, dipandang negatif jika dibuang ke jalan, boleh digunakan untuk mencipta patung yang mencantikkan jalan yang sama,” kata artis itu kepada Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...