Oleh: Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Walaupun ranking universiti-universiti tempatan yang cukup membanggakan, tetapi cabaran memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sesuai masih wujud. Graduan negara tidak mendapat pekerjaan yang sepatutnya dan terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menyara hidup mereka.
Tidak dinafikan bahawa inisiatif kerajaan seperti skim latihan SKiPPA atau iReady telah membantu apabila menurunkan statistik pengangguran tetapi pengambilan pekerjaan sepenuh masa dengan gaji yang berpatutan selepas 12 hingga 18 bulan pendedahan kerja amat mengecewakan.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan MMN ke-21 bagi hari keempat di Bangunan Dewan Majlis kelmarin.
Namun, kongsi Yang Berhormat lagi, dalam waktu yang sama, Jabatan Buruh melaporkan ada kenaikan kepada 75,000 pemegang pas permit kerja dalam negara berbanding 11,000 anak tempatan yang menganggur. Ini menunjukkan bahawa strategi tenaga kerja sekarang perlu diubah menjadi lebih fokus dan berkesan mementingkan pengambilan anak tempatan.
Seterusnya, Yang Berhormat turut menekankan kekurangan peluang pekerjaan dalam negara yang berterusan menyumbang kepada berlakunya brain drain iaitu aliran keluar tenaga mahir apabila generasi muda yang pintar dan berkelulusan akan keluar negara untuk mencari rezeki dan kehidupan baharu.
Dalam hal ini, Yang Berhormat berpendapat negara ada dua pilihan untuk menangani potensi brain drain sama ada mengabaikan dan berpendapat brain drain tidak akan berlaku dan menanggung padah kerugiannya; atau menjadi proaktif mengubah potensi ini menjadi peluang brain gain apabila institusi pendidikan, universiti dan agensi kerajaan mengadakan program yang bersesuaian untuk menggalakkan graduan untuk mendapatkan pengalaman bekerja di luar negara.
Untuk membawa pulang mereka yang berkemahiran dan mempunyai kepakaran unutk memajukan industri Brunei, Yang Berhormat telah memberi cadangan yang lebih positif dan proaktif, antaranya mewujudkan ‘Program Bakat Pulang’ iaitu dengan menyediakan insentif untuk graduan bekerja di luar negara sementara waktu, seperti pengecualian cukai, bantuan perumahan, atau geran bagi mereka yang kembali dengan kemahiran khusus dalam industri. Begitu juga dengan membangunkan perkongsian atau kerja sama dengan syarikat global untuk menempatkan graduan Brunei dalam peranan yang selaras dengan matlamat kepelbagaian ekonomi Brunei contohnya, tenaga boleh diperbaharui, teknologi, kewangan, dan servis.
Selain itu, Yang Berhormat turut mencadangkan dengan mewujudkan rangka kerja pemindahan ilmu dengan cara menggalakkan ahli profesional supaya kembali untuk berkongsi kepakaran melalui program mentor, bengkel, atau perkongsian dengan perniagaan dan institusi tempatan; dan memperkukuh industri tempatan untuk memacu inovasi dan pembangunan dalam sektor utama seperti industri halal, pelancongan, dan transformasi digital.
“Apabila mereka kembali ke tanah air setelah tamat assignment, ada ekosistem yang menyokong memastikan ahli profesional mempunyai akses kepada sumber, pembiayaan dan peluang untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dengan berkesan di Brunei.”
“Dengan mengubah brain drain kepada brain gain, Brunei akan dapat membina saluran profesional berkemahiran tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tekan Yang Berhormat lanjut.
