Wednesday, May 7, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubah lagu kebangsaan demi penduduk asli

    SYDNEY, 1 JAN – Satu baris ayat dalam lagu kebangsaan negara Australia secara rasminya diubah hari ini dalam tindakan yang dikatakan oleh pemimpin negara bertujuan mengiktiraf penduduk asli negara itu.

    Perdana Menteri Scott Morrison mengumumkan baris kedua dalam lagu kebangsaan, Advance Australia Fair, akan diubah dari ‘Kerana kami muda dan bebas’ kepada ‘Kerana kami bersatu dan bebas.’

    “Australia sebagai negara moden mungkin muda, namun kisah negara kami adalah lama, begitu juga dengan kisah kebanyakan penduduk Negara Pertama dengan kepimpinan mereka diiktiraf dan dihormati oleh kami semua,” tulis Morrison dalam akhbar The Age sehari sebelum Tahun Baharu.

    “Menukar ‘muda dan bebas’ kepada ‘bersatu dan bebas’ tidak membawa sebarang kehilangan, namun saya percaya ia memberikan pengertian mendalam.”

    Tindakan itu sebelumnya telah dikemukakan untuk mengiktiraf sejarah Penduduk Asli, yang menjangkau puluhan ribu tahun, tetapi pemimpin konservatif itu belum melancarkan perubahan sehingga mengumumkannya lewat semalam.

    Australia ialah sebuah negara yang masih berdepan era penjajahan lampau dan ketidaksamaan yang dihadapi oleh penduduk Negara Pertama, dengan anak-anak penduduk asli dua kali lebih mudah meninggal dunia sebelum hari jadi kelima mereka, menurut statistik rasmi.

    Awal tahun ini, bantahan besar diadakan di beberapa bandar di seluruh negara menggesa kematian penduduk asli dalam tahanan ditamatkan, yang berjumlah lebih daripada 400 dalam tempoh tiga dekad lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda