Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubah perspektif dunia melalui kopi

    NOVA IGUACU, BRAZIL – Raphael Brandao berasa sangat bangga semasa beliau menerangkan kopi Brazil berkualiti tinggi yang dihasilkannya dengan biji kopi yang diperoleh secara eksklusif daripada petani kulit hitam di negara di mana ramai orang masih mengaitkan produk itu dengan perhambaan.

    Lelaki berusia 31 tahun itu hanya membeli biji kopinya dari ladang yang dimiliki oleh orang yang berketurunan Afro dan berkata matlamatnya adalah untuk ‘mengubah semula tanggapan bahawa orang kulit hitam’ seperti dirinya ‘hanya pekerja buruh’.

    “Dengan cara saya sendiri, saya cuba membuat pembetulan sejarah,” beritahu Brandao kepada AFP di kedai pemanggang kopi miliknya di Nova Iguacu, pinggir bandar yang miskin di Rio de Janeiro.

    Empat tahun lalu, beliau melancarkan jenamanya, Cafe di Preto.

    Menjelang 2022, beliau menjual 800 kilogram biji kopi, pada tahun berikutnya sebanyak 1.4 tan. Tahun ini, beliau berharap dapat meningkatkannya menjadi lebih dua tan berikutan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus pada suku pertama sahaja.

    Gambar bertarikh 30 April 2024 menunjukkan peket kopi yang dihasilkan oleh syarikat kopi Cafe di Preto di Nova Iguacu, pinggir bandar Rio de Janeiro. – AFP
    Brandao bekerja pada mesin pemanggang kopi di syarikat Cafe Di Preto di Nova Iguacu, pinggir bandar Rio de Janeiro. – AFP
    Gambar bertarikh 30 April 2024 ini menunjukkan biji kopi di dalam mesin pemanggang di syarikat Cafe Di Preto di Nova Iguacu, pinggir bandar Rio de Janeiro. – AFP
    Peixoto menuai biji kopi di ladangnya di Santo Antonio do Amparo, Minas Gerais, Brazil pada 15 Mei 2024. – AFP

    Logo untuk Cafe di Preto ialah penumbuk berwarna hitam yang menggenggam dahan kopi, dan pelbagai jenis rasa yang berbeza masing-masing dinamakan sempena nama tokoh wanita kulit hitam dalam sejarah Brazil.

    Brazil ialah negara terakhir di benua Amerika yang menghapuskan perhambaan, pada tahun 1888, dan ketidaksamaan kaum kekal tinggi di negara yang lebih separuh daripada penduduknya dikenali sebagai ‘preto’ (orang kulit hitam) atau bangsa kacukan.

    ‘MENGUBAH DUNIA’

    Melalui usahanya, Brandao memberitahu AFP beliau ingin mengingatkan dunia bahawa Brazil menjadi pengeluar kopi terkemuka hasil kerja keras orang dari Afrika, tempat kopi berasal.

    Beliau juga berusaha untuk ‘menghapuskan stigma bahawa orang kulit hitam tidak mampu menghasilkan produk berkualiti’.

    “Jadi kerja saya juga memberikan penerangan mengenai perkara ini,” katanya.

    “Hari ini, saya mempunyai enam kopi yang dihasilkan oleh orang kulit hitam, semuanya berkualiti tinggi.”

    Ramai pelanggannya, tambah beliau, mencari bukan sahaja produk berkualiti tetapi juga produk yang ‘mengubah dunia’.

    Brandao ialah peneraju dalam apa yang dipanggil sebagai gelombang Perniagaan Hitam di Brazil yang mempromosikan perdagangan dalam kalangan orang keturunan Afrika sebagai alat untuk kemajuan sosial.

    Pada mulanya, beliau menghadapi masalah mencari pembekal daripada orang kulit hitam memandangkan majoriti besar ladang kopi di Brazil masih dimiliki oleh keluarga kulit putih.

    “Pembekal kulit hitam saya adalah generasi pertama yang mengeluarkan hasil di tanah mereka sendiri, selalunya hanya beberapa hektar,” katanya.

    Dan Brandao terpaksa mempertahankan perjuangan yang menjadi pilihannya bukan sekali tetapi banyak kali.

    “Saya kadang-kadang diaju soalan, ‘Bagaimana jika keadaan adalah sebaliknya, jika tempat pemanggang yang dimiliki oleh orang kulit putih membeli kopi daripada petani kulit putih?’ Namun bukankah itu yang sedang terjadi sekarang?”

    DARI LADANG KE CAWAN

    Kira-kira 500 kilometer dari Nova Iguacu ialah ladang kopi seluas 47 ekar milik Neide Peixoto, salah satu pembekal pertama Brandao.

    “Saya telah terlibat dengan kopi sejak kecil. Ibu bapa saya bekerja di ladang dan saya sering menemani mereka,” beritahu Peixoto, 49, kepada AFP di ladangnya di negeri tenggara Minas Gerais, tempat utama untuk pengeluaran kopi.

    Tidak seperti ibu bapanya, beliau menanam kopi di tanah milik keluarganya sendiri, yang dibeli oleh suami dan abang-abangnya yang juga bekas buruh.

    “Ia amat bermakna bagi saya untuk menjadi pengeluar kopi istimewa kulit hitam, kerana… kami, orang kulit hitam mempunyai sejarah yang sangat sukar dan menyakitkan,” kata Peixoto.

    Sebahagian besar hasil pengeluaran ladang itu adalah untuk dieksport, tetapi biji kopi yang dikhaskan untuk Cafe di Preto mempunyai makna yang istimewa bagi Peixoto.

    “Sungguh menggembirakan apabila mengetahui kopi yang saya hasilkan, iaitu kopi yang dihasilkan oleh orang kulit hitam, juga dipanggang oleh orang kulit hitam,” katanya.

    “Saya berasa teruja mengetahui bahawa kami sedang menjalin hubungan ini, daripada pengeluaran di ladang ini sehingga ke cawan kopi yang dinikmati ramai orang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda