Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Revolusi digital telah mengubah pola pembelajaran dan pelaksanaan tugas harian di mana perkembangan teknologi itu juga menghendaki sistem pendidikan untuk berkembang supaya dapat mempersiapkan generasi agar mereka bersedia dengan peluang cabaran yang akan dibentangkan oleh revolusi berkenaan.
Dalam hubungan itu, para guru, penggubal dasar, masyarakat dan pihak yang berkepentingan perlu menerima hakikat perubahan berkenaan serta perlu mengubah amalan-amalan tradisional yang telah lama dipraktikkan.
“Bidang pendidikan perlu bertindak pantas, jika tidak, peranan guru itu akan tercabar dan menjadi kurang relevan,” tekan Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika berucap pada perasmian Kongres Pertemuan Guru-guru Nusantara (PGN) ke-18 yang berlangsung di Jerudong, hari ini. Beliau menambah bahawa teknologi telah menembusi bilik darjah dan mengambil alih sebahagian peranan guru.
“Peranan guru memang tidak akan dapat diambil alih sepenuhnya oleh teknologi, bagaimanapun, wadah-wadah pembelajaran secara talian yang disesuaikan dengan keperluan serta kebolehan setiap pelajar sangat menuntut kemampuan, kompetensi dan pe-ranan guru untuk lebih selaras.”
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru guru untuk terus memperkukuhkan kompetensi digital dan teknologi supaya dapat mengajar generasi muda dengan kemahiran serta kompetensi abad ke-21 seperti kreatif, berdaya tahan, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan matang dalam menangani isu yang ada.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah dalam ucapannya turut menyatakan bahawa kurikulum pelbagai peringkat di Negara Brunei Darussalam akan terus dikaji untuk melengkapkan para pelajar dengan tahap pengetahuan dan kecekapan yang tinggi dalam mata pelajaran STEAM, literasi digital, kompetensi global, celik kewangan dan keusahawanan.
“Kementerian Pendidikan akan terus berusaha bagi memastikan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) dapat menyediakan akses yang sama dan saksama kepada pendidikan berkualiti melalui pelbagai laluan serta memenuhi pelbagai keperluan.”
Beliau berkata bahawa melalui perisian kurikulum SPN21, pengukuhan pegangan agama dan pembangunan sahsiah pelajar adalah satu keutamaan tinggi bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berpendidikan, berkemahiran dan peka teknologi tetapi satu generasi Brunei yang berciri penduduk global dan mempunyai identiti keBruneian serta nilai-nilai rohani lagi berpegang teguh dengan falsafah, Melayu Islam Beraja.
Beliau menyatakan keyakinan, negara-negara Nusantara lain juga mempunyai hasrat sama untuk melahirkan modal insan yang holistik, siap-siaga masa depan, berketerampilan dan berdaya saing dalam memacu pembangunan negara yang lestari dan mapan.
“Saya berharap percambahan fikiran dan perkongsian pengalaman pada kongres ini khususnya melalui pembentangan kertas-kertas kerja nanti akan dapat memberi nasihat, tunjuk ajar serta perkongsian amalan-amalan terbaik yang diperlukan untuk kita membangunkan generasi yang berpendidikan global lagi mempunyai kekentalan jati diri yang tinggi.”
Kongres PGN ke-18 diadakan selama dua hari, hari ini dan 27 September dengan pertemuan tahunan bagi tahun ini dianjurkan oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).
Kongres yang membawa tema ‘Pendidikan Global Pertahan Jati Diri’ itu dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang mewakili persatuan-persatuan guru dari negara-negara ahli PGN iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Negara Brunei Darussalam.