Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Di Negara Brunei Darussalam, penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kanser, penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan strok adalah penyebab hampir 60 peratus daripada semua kematian pada 2017.
Hasil dapatan daripada Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2016 (National STEPS NCD Survey 2016) menunjukkan bahawa beberapa faktor risiko NCD dalam kalangan dewasa yang berkaitan masih lagi berkekalan pada tahap yang membimbangkan.
“Manakala, kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa di negara ini adalah yang tertinggi di rantau ASEAN iaitu satu daripada empat orang dewasa dikategorikan sebagai obes,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Pelancaran Program WAH (Workplace and Health) Sesi 2019-2020 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau mendedahkan lagi bahawa kajian itu juga menunjukkan 20 peratus dalam kalangan orang dewasa adalah perokok walaupun di Brunei tidak lagi terdapat sebarang kedai berlesen yang menjual produk tembakau atau pengimport produk tembakau sejak 2014.
“Selain itu, paras gula yang tinggi dan amalan pemakanan tidak sihat pula merupakan faktor-faktor risiko utama yang menyumbang kepada kematian dan kekurangan upaya atau pun morbidity di negara ini.

“Oleh yang demikian, jika tidak dibendung, mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko tersebut akan lambat laun menghidap salah satu atau, lebih lazim lagi, kombinasi beberapa penyakit tidak berjangkit seperti yang disebutkan,” tegasnya lagi.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berkata bahawa kos perbelanjaan bagi segala pengurusan dan rawatan kesihatan di negara ini disediakan secara percuma bagi semua warga negara.
“Walau bagaimanapun, kos perbelanjaan berkenaan dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit semakin meningkat dari setahun ke setahun.
“Dari itu, bagi memastikan kos tersebut tidak akan meningkat tinggi pada masa akan datang dan juga bagi memastikan kualiti kehidupan setiap warganegara ini adalah di tahap yang tinggi, langkah-langkah pencegahan perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan secara komprehensif dan bersepadu,” tekannya lagi.
Langkah bagi menangani dan mencegah penyakit tidak berjangkit itu, tekannya, memerlukan pelbagai strategi dan kaedah di beberapa peringkat serta melibatkan kerjasama padu daripada semua pihak berkepentingan dalam sama-sama merangsang perubahan minda dan tingkah laku orang ramai supaya dapat menerapkan amalan cara hidup yang sihat secara berterusan.
Dalam hubungan itu, beliau berkata, Program WAH adalah satu kaedah pendekatan persekitaran sihat di tempat kerja yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan salah satu tindakan di bawah Multisectoral Task Force for Health iaitu satu Jawatankuasa Pelbagai Sektor mengenai Kesihatan yang dianggotai oleh setiausaha-setiausaha tetap serta beberapa orang ketua jabatan di kementerian kerajaan.
Program itu bertepatan dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu tempat kerja sihat sebagai tempat kerja yang menyediakan persekitaran fizikal, sosial, psikologi dan organisasi yang dapat melindungi serta mempromosi kesihatan dan keselamatan setiap pekerja.
Program WAH merupakan satu program promosi kesihatan di tempat kerja yang berhasrat untuk meningkatkan dan mengekalkan kesihatan setiap pekerja atau warga perkhidmatan awam khususnya.
Yang Berhormat Dato juga percaya program itu bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada pekerja atau warga perkhidmatan awam tetapi ia juga boleh mendatangkan impak yang positif kepada pihak kerajaan secara menyeluruh.