PHNOM PENH, 13 JAN – Sebuah syarikat yang mengitar semula bertan-tan sisa plastik menjadi ‘bata eko’ telah mendapat sokongan padu dari Kerajaan Filipina.
Demi memenuhi permintaan pelanggan dan meningkatkan usaha kitar semula sisa, syarikat Eco-Bricks yang dinamakan sempena dengan produk keluarannya, baru-baru ini telah menjual model francaisnya kepada 10 buah syarikat baharu.
Dalam pertemuan The Post dengan pengasas Eco-Bricks, Sok Thy menjelaskan bagaimana model perniagaannya telah menyumbang kepada pengurangan sisa plastik yang akan dibuang atau dibakar, seterusnya mengeluarkan asap toksik yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan serta mencemarkan udara.
Thy berkongsi bagaimana syarikat-syarikat lain membeli model perniagaannya boleh menghasilkan bata eko iaitu bata yang dihasilkan dengan menggunakan sisa plastik sebagai salah satu bahan mentah.
“Saya mengajar mereka cara menyediakan jentera yang diperlukan supaya mereka boleh menghasilkan bata eko dengan kualiti yang sama seperti yang dikeluarkan oleh syarikat induk,” katanya.
Sebelum meyakinkan syarikat lain untuk melabur, beliau telah menjalankan kajian tentang produk serupa di luar negara.
“Sebelum saya memulakan perusahaan kitar semula plastik, saya mempelajari banyak teknik di Thailand, Malaysia, Filipina, China dan India. Saya juga belajar dalam talian,” katanya.
Kilang Eco-Bricks mula beroperasi pada 2019, mengumpul 5 hingga 10 tan sisa plastik sebulan daripada badan-badan NGO dan syarikat swasta untuk menghasilkan batu bata untuk industri pembinaan.
Beliau menyatakan bahawa beliau pada mulanya memulakan operasi dengan modal dan bahan mentah yang terhad.
Tanpa penghancur plastik, pasukannya terpaksa menggunakan gunting dan pisau untuk memotong plastik secara manual kepada kepingan kecil yang sesuai untuk diproses.
“Dua kilogram plastik cukup untuk membuat satu bata dan setiap bata berharga 1,000 riel. Pelanggan boleh memilih daripada tiga jenis: bata Lanto, bata berasaskan kayu dan bata biasa,” kata Thy.
Perniagaannya memproses antara 2 hingga 3 tan sisa plastik sebulan dengan cara mengisarnya menjadi serbuk dan mencampurkannya dengan bahan mentah seperti tanah, pasir dan simen sebelum ditekan ke dalam acuan untuk menghasilkan batu bata.
Selain menggunakan sisa plastik dalam pembinaan, beliau juga turut berusaha mengurangkan kesan alam sekitar dalam proses kilangnya.
“Kami tidak menggunakan kayu kering tanur untuk mengeringkan batu bata; proses pengeluaran kami menggunakan teknik air dan non-drying chamber,” kata Thy.
“Ini juga dapat membantu mencegah penebangan hutan dan mengurangkan kos pengeluaran. Batu bata kami tahan lebih 100 tahun dan lima hingga enam kali lebih kuat daripada bata tanah liat merah yang biasa,” tambahnya.
Sehingga kini, Eco-Bricks telah memenangi empat anugerah berbeza, termasuk Usahawan Terbaik Perusahaan Khmer.
Thy percaya kejayaan syarikatnya telah menyumbang kepada inspirasi rakyat Kemboja untuk memahami faedah kitar semula sisa dan mengubah pemikiran mereka daripada membuang atau membakar plastik sewenang-wenangnya.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, lebih 10,000 tan sampah dikumpul di Phnom Penh setiap hari. 20 peratus daripadanya adalah sisa plastik, yang mana hanya 10 peratus daripadanya dikitar semula. – ANN/The Phnom Penh Post